[VIDEO] Kapal perang China didakwa sengaja melintas kapal pemusnah AS di Selat Taiwan


  • Benua
  • Isnin, 05 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan pergerakan kapal perang China yang didakwa melintas dengan 'cara yang tidak selamat' di hadapan kapal pemusnah AS di Selat Taiwan.

KAPAL perang China didakwa sengaja melintas dengan 'cara yang tidak selamat' di hadapan kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) di Selat Taiwan.

Tentera AS berkata, kapal pemusnah, USS Chung-Hoon dan kapal perang, Montreal Kanada pada Sabtu sedang melakukan transit 'rutin' di selat yang memisahkan pulau Taiwan dan China, apabila kapal China itu bertindak memotong di hadapan kapal AS dalam jarak 137 meter.

Video memaparkan pergerakan kapal perang berkenaan belayar melintasi laluan USS Chung-Hoon tular di media sosial.

Bagaimanapun, USS Chung-Hoon dilihat tidak mengubah haluannya.

Sementara itu, Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dalam satu kenyataan berkata, Tentera Laut dan Tentera Udara China mengikuti pergerakan dua kapal perang tersebut yang merentasi selat.

Berdasarkan kenyataan tersebut, AS dan Kanada turut dituduh cuba mengganggu keamanan dan kestabilan di rantau itu.

AS kerap melalui selat sempit antara Taiwan dan China, sementara China menganggap pulau tadbir sendiri itu adalah sebahagian daripada wilayahnya.

China masih belum memberi sebarang respon berhubung kritikan AS terhadap tindakan itu dan kementerian luar negara berkenaan juga tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan maklum balas.

Sebelum ini, media melaporkan tentera China membidas AS dan Kanada kerana 'sengaja menimbulkan risiko' dengan pelayaran bersama yang jarang berlaku.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Taiwan tampil meminta agar China menghormati hak kebebasan pelayaran.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu turut mendakwa China cuba untuk membuat provokasi.

Katanya, ia adalah tanggungjawab bersama negara bebas dan demokratik untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan di selat itu.

"Sebarang tindakan untuk meningkatkan ketegangan dan bahaya tidak akan menyumbang kepada keselamatan serantau," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram