SEORANG pendaki Malaysia yang terkandas di 'zon maut' di Gunung Everest pada 18 Mei lalu akhirnya diselamatkan oleh seorang malim gunung atau sherpa dari Nepal sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Sherpa yang dikenali sebagai Gelje Sherpa, 30, menceritakan detik cemas tersebut untuk menarik pendaki turun dari bawah puncak Gunung Everest dalam misi menyelamat yang jarang dilakukan.
Menurutnya, ketika kejadian tersebut, dia sedang membawa pendaki dari China ke puncak Everest setinggi 8,849 meter sebelum terlihat seorang pendaki Malaysia berpaut pada tali dan menggigil akibat kesejukan melampau di 'zon maut' yang suhunya boleh jatuh sehingga negatif 30 darjah Celsius atau lebih rendah.
Gelje kemudiannya menarik pendaki tersebut sejauh 600 meter turun dari kawasan Balcony ke South Col selama kira-kira enam jam, sebelum seorang lagi sherpa, Nima Tahi membantu dalam misi menyelamat berkenaan.
"Kami menyelimutkan pendaki itu dengan 'sleeping mat' dan adakala menyeretnya di atas salji atau membawanya secara bergilir-gilir ke Kem III," katanya.
Tidak lama kemudian, Geljie berkata, sebuah helikopter tiba untuk membawa mangsa dari Kem III setinggi 7,162 meter turun ke kem pangkalan.
Katanya, dia turut meyakinkan pendaki yang dibawanya untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak kerana misi menyelamatkan mangsa adalah lebih penting.
"Menyelamatkan nyawa adalah lebih penting daripada segala-galanya," katanya.
Gelje Sherpa ketika menceritakan detik cemas menyelamatkan seorang pendaki Malaysia yang terkandas dalam 'zon maut' di Gunung Everest.
Sementara itu, pegawai Jabatan Pelancongan, Bigyan Koirala berkata, operasi terbabit jarang berlaku kerana misi menyelamat pendaki di 'zon maut' terbabit sebenarnya hampir mustahil dilaksanakan.
Bagaimanapun mangsa dari Malaysia itu sudah dibawa pulang ke tanah air pada minggu lalu.
Nepal sebelum ini dilaporkan mengeluarkan 478 permit untuk Everest ketika musim pendakian pada Mac hingga Mei.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 12 pendaki dilaporkan meninggal dunia di gunung berkenaan iaitu jumlah tertinggi direkodkan selama lapan tahun, manakala lima lagi masih hilang di cerun Everest.
Media sebelum ini turut melaporkan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia akibat terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Everest pada 18 Mei lalu.
Awang Askandar, 55, disahkan maut pada pukul 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) ketika sedang menerima rawatan lanjut di kem IV Everest.
Dalam pada itu, seorang lagi pendaki Malaysia, orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashimpula turut dilaporkan hilang sehari selepas berjaya menawan puncak pada tarikh sama.
Misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari, 33, diteruskan selama lima hari selepas mendapat ihsan daripada pihak berkuasa Nepal walaupun pihak berkenaan menutup aktiviti mendaki ke puncak Everest bermula Isnin lalu.
Dalam perkembangan lain, seorang lagi rakyat Malaysia, RJ Nagarajan, 59, yang berjaya menakluk puncak Everest, 22 Mei lalu diselamatkan beberapa sherpa selepas mengalami simptom buta salji ketika menuruni puncak tertinggi dunia itu menuju ke kem IV Everest. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram