SEORANG wanita yang dilahirkan di Negeri Sembilan dan dibesarkan di Sandakan, Sabah dilaporkan hilang dan dikhuatiri diculik di Chiang Mai, Thailand.
Perkara itu dimaklumkan ibu kepada wanita berkenaan menerusi laman Facebooknya pada Jumaat.
Menurut Zhu Caiyun, dia hanya mengetahui lokasi terakhir anaknya, Angie Chona Sum Yee, 22, yang juga merupakan seorang pakar kecantikan adalah di Chiang Mai.
"Please help me find this girl, she has been missing for 24 hours, the last place is Chiang Mai," tulisnya di Facebook.
Caiyun berkata, anaknya yang kini bekerja di sebuah syarikat jualan langsung di Kuala Lumpur pergi ke Chiang Mai pada 29 Mei lalu atas urusan kerja.
Dia telah menasihati Angie untuk tidak pergi ke sana sendirian kerana bimbang akan keselamatannya, namun anak perempuannya itu memaklumkan bahawa ada pekerja daripada syarikatnya yang akan menemuinya di sana.
Tangkap layar kenyataan Zhu Caiyun di Facebook mengenai kehilangan anaknya.
Untuk memudahkan urusan pencarian, Caiyun telah memuat naik beberapa keping foto terkini Angie yang diambil di sekitar kawasan Chiang Mai, daerah Mae Sai, Chiang Rai, termasuk kawasan pintu sempadan antara Mae Sai dan Myanmar.
Difahamkan, gambar berkenaan dimuat naik oleh Angie di Facebook peribadinya sebelum dia hilang tanpa dikesan.
Kejadian itu mendapat perhatian penduduk di sana apabila Facebook bernama 'City of Chiang Mai The way of life and food of the people of the house' turut berkongsi hantaran mengenai kehilangan wanita berketurunan Cina itu.
Misteri kehilangan Angie turut mendapat perhatian rakyat Thailand.
Memetik laporan China Press, Caiyun memberitahu kali terakhir anak perempuannya aktif di aplikasi WhatsApp adalah pada pukul 10 malam, Khamis.
Sejak itu, dia tidak membalas atau membaca sebarang mesej yang dihantar oleh ibunya.
Caiyun berkata, sedangkan sebelum ini meskipun sentiasa sibuk dengan kerja, anaknya pasti akan membaca mesej yang dkirim olehnya.
Sementara itu, terdapat dakwaan yang mengatakan Angie kini berada di Myanmar.
Dakwaan itu menguatkan lagi kebimbangan Caiyun, apatah lagi negara itu terkenal dengan bermacam jenis sindiket jenayah yang berbahaya termasuk sindiket penculikan.
Bagaimanapun, dia telah membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand serta berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan anaknya akan segera tampil bagi membantu pihak berkuasa menjejakinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram