[VIDEO] Macam dipanah petir, parah terkena renjatan elektrik semasa cuci cermin kereta api


  • Benua
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Tangkap layar seorang pekerja pembersihan terkena renjatan elektrik semasa mencuci cermin kereta api di Stesen Istanbul, Sogutlucesme, Turkiye.

SEORANG pekerja lelaki dilaporkan cedera parah selepas terkena renjatan elektrik semasa sedang membersihkan cermin depan kereta api berkelajuan tinggi di Stesen Istanbul, Sogutlucesme, Turkiye baru-baru ini.

Ketika kejadian, lelaki terbabit dilihat sedang membersihkan cermin itu menggunakan sebatang berus besi panjang sebelum terkena arus elektrik bervoltan tinggi di stesen kereta api berkenaan.

United Transport Employees Union (BTS) menegaskan bahawa kerja-kerja pembersihan itu sebelum ini ditugaskan kepada syarikat di bawah naungan kerajaan iaitu TCDD dan TCDD TASIMACILIK A.

Susulan insiden terbabit, BTS menjelaskan individu berkenaan merupakan pekerja sub kontraktor yang diambil bekerja dengan bayaran gaji rendah tanpa jaminan pekerjaan, pengetahuan, kemahiran serta latihan yang mencukupi.

Rakaman kejadian sempat dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di stesen kereta api tersebut.

Dalam pada itu, BTS menerusi kenyataannya turut menyatakan bahawa kerja pembersihan itu merupakan kesalahan yang melanggar undang-undang.

"Kereta api mempunyai laluan terpencil bervoltan tinggi di bahagian atasnya di mana ia akan diselenggara dalam tempoh tertentu.

"Proses itu dijalankan oleh syarikat unit pembersihan kami pada minggu lalu namun kali ini ia cuba dilakukan dengan baldi dan berus oleh lelaki tersebut," katanya.

Pekerja berkenaan yang terkena arus elektrik 28,000 watt kini sedang melalui proses intubasi di hospital bagi membolehkan pesakit terus bernafas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram