
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tersungkur selepas kakinya tersadung ketika berjalan di atas pentas semasa majlis graduasi Akademi Tentera Udara AS di Colorado, AS.
Ekoran insiden itu, Biden yang merupakan presiden paling tua pernah berkhidmat di negara itu, pada usia 80 tahun kemudiannya dibantu oleh pegawai Tentera Udara untuk bangkit dan berjalan kembali ke tempat duduknya tanpa dipapah.
Sebelum itu, beliau berdiri selama kira-kira satu setengah jam untuk berjabat tangan dengan setiap 921 kadet yang menamatkan pengajian.
Pengarah Komunikasi Rumah Putih berkata, "beliau berada dalam keadaan baik".
"Terdapat beg pasir di atas pentas semasa dia berjabat tangan," tulis Ben LaBolt di Twitter selepas kejadian itu pada Khamis.
Laporan kumpulan pemberita Rumah Putih sebelum itu berkata, Biden tersadung beg pasir hitam ketika berjalan di atas pentas.
Tangkap layar video tular kejadian itu menunjukkan Biden dibantu oleh beberapa orang pegawai Tentera Udara AS untuk kembali bangkit.
Rakaman insiden itu menunjukkan beliau kelihatan menunjuk ke arah beg pasir tersebut selepas kembali berdiri.
Beliau seterusnya dilihat berlari anak untuk kembali konvoi kenderaannya dan tidak kelihatan cedera apabila majlis itu berakhir.
Pemberita yang mengikuti rombongan itu memaklumkan Presiden tidak menjawab soalan apabila beliau kembali ke pesawatnya.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre berkata, Biden berasa "berada dalam keadaan baik" dan menaiki pesawat dengan "senyuman lebar".
Biden sebelum ini turut pernah dilaporkan terjatuh ketika melakukan aktiviti berbasikal. — Agensi
Pengkritik sebelum ini melahirkan pandangan mereka yang mengatakan bahawa Biden terlalu tua untuk bertanding bagi penggal kedua sebagai presiden.
Tinjauan baru-baru ini menunjukkan majoriti pengundi AS bimbang tentang usia lanjutnya. Beliau akan berusia 82 tahun pada permulaan penggal kedua jika berjaya mengekalkan kemenangannya.
Insiden terbaharu itu menambahkan lagi kebimbangan pemerhati selepas beliau sebelum ini turut pernah terjatuh dari basikalnya dan turut pernah mengalami kejadian sama semasa dalam proses menaiki tangga pesawat rasminya, Air Force One.
Pemeriksaan fizikal terakhir oleh Joe dijalankan pada Februari lalu.
President Biden appears to trip causing him to fall to the stage after shaking hands with graduates at the U.S. Air Force Academy. pic.twitter.com/meE2ozS0tF
— Dan Linden (@DanLinden) June 1, 2023
Pakar perubatan Rumah Putih, Dr Kevin O'Connor menulis pada masa itu: "Presiden kekal cergas untuk bertugas dan melaksanakan sepenuhnya semua tanggungjawab tanpa sebarang pengecualian atau kelonggaran." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram