[VIDEO] Petarung MMA Chechen jadi hero selamatkan warga emas berdepan detik maut akibat sawan


  • Benua
  • Khamis, 01 Jun 2023

Tindakan Dzahahar (kanan) menyelamatkan warga emas berkenaan dalam kejadian dipercayai berlaku di sebuah pasar raya di Moscow, Rusia itu dirakam dalam satu video yang tular sejak Khamis.

SEORANG petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Chechen, Dzhahar Mazhidov mencuri perhatian selepas dia membantu menyelamatkan seorang warga emas sedang mengalami serangan sawan yang berpotensi membawa maut.

Keprihatinan dipamerkan Dzahahar itu tular sejak Khamis dalam satu video memaparkan tindakannya yang segera menghulurkan pertolongan terhadap warga emas terbabit.

Berdasarkan klip tersebut, lelaki tua itu pada awalnya sedang membuat pembayaran di sebuah pasar raya dipercayai di Moscow, Rusia sebelum diserang sawan sehingga menyebabkannya terbaring di hadapan kaunter.

Beberapa orang pelanggan berdekatan termasuk penjaga kaunter pada mulanya dilihat tidak berani untuk menghampiri bagi memberikan bantuan segera menyebabkan lelaki itu terbaring keseorangan dalam kesakitan selama hampir 30 saat.

Namun begitu, Dzahahar yang turut berada di pasar raya tersebut kemudiannya segera memberikan bantuan sebaik menyedari keadaan dialami lelaki tua tersebut.

Dia yang memakai topi dan baju berwarna hitam dilihat menghampiri warga emas itu dan menepuk-nepuk serta membetulkan posisi badan lelaki berkenaan untuk berusaha membantu memulihkannya.

Dua orang pekerja pasar raya berkenaan kemudiannya turut tampil menghulurkan pertolongan kepada Dzahahar.

Di akhir video tular itu, warga emas itu dilihat kembali sedar dan dapat kembali berdiri dengan bantuan pekerja pasar raya berkenaan.

Dzahahar merupakan rakan kepada bintang MMA dari Chechen, iaitu Khamzat Chimaev yang kini memegang rekod 12 perlawanan tanpa kalah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram