Tenang selepas peluk Islam


  • Mukmin
  • Isnin, 30 Ogos 2021

KESEMUA atlet ini menggemparkan industri sukan dunia selepas memilih memilih memeluk Islam saat berada di puncak kejayaan.— Agensi

BERADA di puncak karier dan dilimpahi dengan pelbagai kesenangan hidup boleh menjadi nikmat atau dugaan kurniaan ALLAH SWT.

Pada saat ini, keimanan seseorang akan diduga dari pelbagai aspek terutama tahap keimanan mereka kepada Sang Pencipta.

Namun, ada juga dalam kalangan manusia yang diberikan cahaya keimanan dan memilih untuk memeluk agama Islam ketika berada di puncak kejayaan.

Itu yang dilakukan beberapa atlet dunia yang memilih Islam saat berada di puncak kejayaan, sekali gus menggemparkan industri sukan dunia dengan keputusan yang dilakukan.

Ada antara mereka yang dikatakan menemui sinar kebahagiaan dan keluar dari dunia gelap selepas memeluk agama Islam.

Antara atlet yang bertuah itu termasuk pemain bola keranjang NBA, Kareem Abdul Jabbar, peninju Mike Tyson, atlet kriket Wayne Parnell, atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) Wilhelm Ott dan atlet wushu, Lindswell Kwok.

Abdul Jabbar memeluk Islam pada saat dia merupakan antara atlet yang paling berjaya dalam liga bola keranjang NBA.

Pengumumannya yang memeluk agama Islam awalnya mendapat kritikan hangat ramai pihak bahkan mengejutkan ramai peminat.

Bagaimanapun, dia masih meneruskan kariernya dan berjaya menempatkan diri sebagai pemegang skor tertinggi sepanjang zaman dengan mata 38.387 sehingga hari ini.

Menyerlah dalam sukan kriket, Wayne Parnell juga pernah terpalit dengan kritikan hebat peminat sukan itu apabila dia memutuskan untuk memeluk agama Islam.

Bagaimanapun dia tetap dengan pendiriannya dan terus menempa nama sebagai atlet kriket kelas atasan yang berjaya.

Dikenali dengan pelbagai kontroversi malah mengakui pernah hidup dalam dunia kegelapan, bekas peninju terbaik dunia, Mike Tyson pula mengakui bahawa Islam telah memberikannya ketenangan jiwa yang dicari.

Dengan rekod kemenangan sebanyak 50 kali daripada 58 pertarungan itu, Mike pernah terpalit dengan pelbagai kes jenayah yang sedikit sebanyak mencalarkan imejnya.

Dalam pada itu, mempunyai reputasi hebat dalam MMA, Wilhelm Ott memilih telah memeluk agama Islam pada 16 April 2020. Dia juga membuat pengumuman secara terbuka kepada umum yang mencetuskan kontroversi oleh ramai pihak.

Wilhelm juga telah membuat keputusan untuk menyempurnakan semula perkahwinannya bersama isteri secara sah mengikut undang-undang Islam dan hidup tenang sebagai seorang mualaf.

Sementara nama Lindswell Kwok cukup dikenali dalam arena seni wushu. Atlet Olimpik dari Indonesia ini membuat kejutan telah memeluk Islam dengan mengenakan hijab secara terbuka.

Kini Lindswell dikatakan menjalani kehidupan biasa sebagai seorang isteri dan tidak lagi meneruskan karier sebagai atlet wushu.- Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Islam, inspirasi, atlet, sukan, tenang