[VIDEO] Kantoi rembat tisu tandas, pencuri wanita meraung, meronta-ronta tak nak jumpa polis


  • Benua
  • Rabu, 31 Mei 2023

Tangkap layar seorang wanita ditangkap mencuri tisu tandas di sebuah Pusat Servis Toyota Leng Kee, Singapura baru-baru ini.

TINDAKAN seorang wanita yang mencuri dua gulung tisu tandas di sebuah Pusat Servis Toyota Leng Kee, Singapura baru-baru ini memakan diri apabila dia ditangkap oleh kakitangan premis tersebut.

Mengaku akan kesalahannya, wanita terbabit kemudiannya memohon maaf dan merayu agar perkara itu tidak dilaporkan kepada pihak polis.

Mendakwa kelakuan itu bukan kali pertama, kakitangan lelaki berkenaan menjelaskan bahawa ia merupakan kejadian kali kelima dilakukan wanita terbabit.

"Sudah berapa kali, saya sudah memerhatikan awak beberapa kali," ujarnya.

Dalam video berdurasi 1 minit 48 saat itu, wanita terbabit dilihat merayu agar kesalahannya dimaafkan selain turut memulangkan semula tisu tersebut dan berjanji untuk tidak datang ke pusat servis itu lagi.

Tidak lama kemudian, wanita itu beredar selepas tiada sebarang tindakan diambil lelaki tersebut.

Mengulas lanjut berhubung insiden itu, pengedar kenderaan Inchcape Singapore mengesahkan bahawa anak syarikatnya, Borneo Motors telah menerima laporan berkenaan isu terbabit.

"Kami mengesahkan bahawa video itu tidak dirakam atau dilakukan oleh mana-mana pekerja kami, pekerja sub-kontraktor yang mengambil video itu.

"Kini kami sedang bekerjasama dengan pihak sub-kontraktor untuk memastikan perbuatan mereka selaras dengan standard dan nilai profesional yang diiktiraf syarikat," jelas jurucakap syarikat berkenaan.

Tambahnya lagi, Borneo Motors sentiasa komited untuk mewujudkan persekitaran hormat-menghormati dan profesional terhadap semua pihak.

"Sebagai sebuah perusahaan yang dihormati, kami tidak membenarkan sebarang kecurian atau pemindahan tanpa kebenaran harta syarikat dari premis kami.

"Dalam situasi sedemikian, kami mempunyai hak untuk meneruskan tindakan undang-undang," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram