Penyewa terkejut bungkusan kain putih berisi bayi, siap ada sekalung emas


  • Tular
  • Selasa, 30 Mei 2023

Pegawai polis menunjukkan lokasi pembuangan bayi tersebut di Kampung Mariuk, Desa Gandasari, Kabupaten Bekasi, Indonesia dikejutkan pada Sabtu. —Agensi

PENDUDUK Kampung Mariuk, Desa Gandasari, Kabupaten Bekasi, Indonesia digemparkan dengan penemuan seorang bayi dalam bungkusan kain putih yang diletakkan bersebelahan sebuah rumah sewa pada Ahad.

Penemuan bayi lelaki seberat tiga kilogram itu disahkan oleh Ketua Polis Cikarang Barat, Kompol Sutriesno.

Menurutnya, ketika ini bidan, Yayah Ratnaningsih diamanahkan untuk menguruskan bayi berkenaan yang dipercayai dibuang oleh ibu bapanya yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan maklumat diperoleh, bayi itu ditemui oleh salah seorang saksi, Hendra yang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta.

Dia ternampak bungkusan kain putih yang mencurigakan di sebelah rumah sewa berkenaan.

Saksi yang mengakui terkejut melihat keadaan bayi yang dibalut dengan kain putih di hadapannya segera melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

“Dia pada awalnya mengesyaki ia adalah mayat bayi, bagaimanapun selepas menghampiri dan menyentuhnya, dia mendapati bayi tersebut masih bergerak, kemudian saksi segera memaklumkan ibu bapanya," tambahnya.

Beberapa saksi lain turut dibawa ke Balai Polis Cikarang Barat untuk memberi keterangan lanjut.

Dalam pada itu, Kompol mendedahkan, ketika bayi ditemui, sepucuk surat dan rantai emas turut ditemui beserta ari ari yang dibalut dengan plastik merah.

"Pihak kami juga akan berkoordinasi dengan Dinas Sosial Kabupaten Bekasi berhubung penemuan bayi tersebut,"dedahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram