SATU kemalangan ngeri dilaporkan berlaku di Jalan Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor membabitkan seorang wanita yang tersepit, dua anaknya yang cedera dan bayi berusia lima bulan yang tercampak keluar dari kenderaan lori dinaiki.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 3.21 petang.
Susulan itu, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis Daihatsu Delta yang terbabas sebelum masuk ke dalam parit. Seorang wanita berusia 30-an tersepit di tempat duduk penumpang.
"Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera. Seorang lagi yang turut cedera adalah bayi berusia lima bulan yang tercampak keluar dari lori, manakala pemandu berusia 30-an dipercayai bapa mereka terselamat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihak bomba mengeluarkan wanita yang tersepit menggunakan peralatan khas 'rescue tools' sebelum menghantar mangsa ke hospital menaiki EMRS untuk rawatan lanjut.
Tambah Mohd Nazri, operasi tersebut selesai pada pukul 3.55 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram