Si bulus kebal, langsung tak cedera lepas terjatuh dari tingkat 6


  • Benua
  • Isnin, 29 Mei 2023

Kucing itu terjatuh dari tingkat enam kondominium terbabit sebelum jatuh menimpa cermin belakang kereta sebuah kereta sehingga pecah. — Facebook

SEEKOR kucing di Bangkok Thailand membuktikan haiwan tersebut mempunyai sembilan nyawa selepas ia langsung tidak mengalami kecederaan apabila terjatuh dari tingkat enam sebuah kondominium.

Dalam insiden tersebut, kucing berkenaan jatuh menimpa ke atas sebuah kenderaan sehingga memecahkan cermin belakang kereta terbabit.

Kejadian itu dikongsikan sendiri pemilik kenderaan tersebut di Facebooknya, Apiwat Toyothaka pada Sabtu selepas dia mengetahui mengenai perkara tersebut apabila dimaklumkan pengurusan kediaman tersebut.

Apiwat yang turut memiliki kucing peliharaan berkata, dia tidak berasa marah apabila melihat wajah kucing berkenaan yang dalam ketakutan.

Difahamkan, haiwan terbabit bersembunyi di bawah kereta selepas melompat keluar dari lubang besar cermin kereta yang pecah akibat insiden berkenaan.

kucing 2

Ujian X-ray menunjukkan kucing tersebut tidak mengalami sebarang kepatahan pada tulang dan hanya kehilangan dua kukunya. — Facebook

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kucing seberat 8 kilogram yang dinamakan Shifu, sempena watak utama dalam filem Kung Fu Panda itu sebelumnya tergantung di sebuah balkoni di tingkat enam sebelum terjatuh.

Apiwat berkata, ujian X-ray menunjukkan kucing tersebut tidak mengalami sebarang kepatahan pada tulang, dan Shifu hanya kehilangan dua kukunya.

Dia yang turut berkata, pemilik Shifu yang tidak didedahkan namanya memaklumkan kucing itu diberikan makan dengan baik dan tidak mempunyai masalah membuang air.

Pengurus kondo yang terletak di Soi Sathupradit 49, Bangkok, Thailand, Thanakorn Jongjaemfah, berkata, pemilik kucing berkenaan didenda 1,000 baht (RM140) dan berjanji untuk memindahkan haiwan itu ke rumah saudara lelakinya.

Thanakorn berkata, pemilik haiwan itu mendakwa kucing berkenaan berlari ke balkoni apabila dia membuka pintu sebelum tergelincir dan jatuh. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram