Habis '9 nyawa', rumah kucing TPM di Kajang terbakar korbankan 3 bulus


  • 112
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Pihak bomba berjaya memadamkan api yang membakar 15 peratus bilik simpanan kucing di rumah Ahmad Zahid di Country Heights, Kajang, Selangor pada Sabtu. — JBPM

HAYAT tiga kucing belaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lama apabila mati akibat kebakaran di bahagian bilik simpanan kucing di sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Baru Nyaman, Country Heights, Kajang, Selangor pada Sabtu.

Seekor daripadanya terkorban akibat lemas terhidu asap kebakaran, manakala dua lagi mempunyai kesan terbakar pada badan.

Bagaimanapun, 20 ekor kucing lain dapat diselamatkan dan diberi rawatan awal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.30 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dan Bangi tiba di lokasi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat milik Ahmad Zahid yang terbakar sebanyak 15 peratus di bahagian bilik simpanan kucing.

"Api berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dan tiada mangsa dilaporkan terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram