Keluarga trauma imbas saat kanak-kanak 10 tahun maut diserang anjing


  • Benua
  • Sabtu, 11 Jun 2022

Jack diserang sehingga meninggal dunia oleh Beast semasa mahu bermain bersama rakannya.

SEORANG lelaki dan wanita telah dipenjarakan selepas mengaku bertanggungjawab terhadap seekor anjing yang menyerang seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun hingga mati.

Jack Lis diserang oleh seekor anjing yang diberi nama Beast semasa bermain dengan rakan di sebuah rumah selepas pulang dari sekolah pada 8 November 2021.

Polis pergi ke rumah mangsa di Pentwyn, Penyrhoel, berhampiran Caerphilly, Britain dan anjing itu telah dibunuh oleh pegawai polis bersenjata api.

Brandon Hayden, 19, dipenjarakan di Mahkamah Mahkota Cardiff selama empat tahun enam bulan selepas mengaku mengawal anjing tersebut ketika itu.

Amy Salter, 29, pula dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Kedua-duanya dilarang memiliki anjing selama-lamanya.

Mahkamah mendengar pengakuan Hayden, dari Penyrheol, Caerphilly, yang juga merupakan pemilik anjing seberat 45 kilogram (kg) itu pada 3 November 2021.

Hayden sebelum ini pernah menawarkan kepada orang awam di Facebook bahawa dia mahu memberi anjing itu kepada sesiapa yang mahukannya secara percuma.

Pada hari serangan maut itu, anjing tersebut sudah tidak terkawal dan menyerang Jack yang mahu bermain bersama rakannya.

Pendakwaraya Gareth James QC berkata, adalah tidak perlu untuk mendedahkan kecederaan mengerikan dialami Jack kepada orang ramai di mahkamah bagi menghormati mereka (keluarga) yang sedang berduka.

Dia menjelaskan bahawa Jack berdiri berhampiran pintu apabila anjing itu melompat ke atasnya, meletakkan dua kakinya di bahunya dan menyebabkan dia jatuh ke lantai.

"Ketika itulah Beast dilihat mula menyerang Jack," katanya.

Rakannya berlari ke jiran untuk mendapatkan bantuan tetapi apabila mereka kembali dia tidak dapat membuka pintu dan hanya mampu melihat anjing itu terus menyerang budak lelaki itu.

Polis tiba dan pegawai cuba mengalih perhatian anjing itu dengan mengetuk tingkap, yang menyebabkan Sarjan Ross Phillips masuk ke dalam dan menarik Jack keluar tetapi malangnya dia sudah meninggal dunia.

Polis bersenjata kemudian memasuki rumah dan menembak mati Beast di bilik tidur tingkat atas.

Hakim Michael Fitton QC berkata, kematian Jack adalah "peristiwa yang tragis dan tidak sepatutnya berlaku".

Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh James, ibu Jack, Emma Whitfield berkata, kematian anaknya meninggalkan kesan yang mendalam kepada kehidupan keluarga mereka, kehidupan rakan-rakan Jack dan masyarakat.

"Imej terakhir yang dilihat seorang ibu tentang anaknya tidak sepatutnya menunjukkan dia diseret dari rumah.

"Apabila saya menutup mata, saya melihat haiwan itu dan giginya, saya mendengar bunyi anjing menyalak. Saya kini mengalami serangan panik dan mimpi buruk," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram