OKU bukan penghalang Ravichandran jadi pendaki pertama Malaysia tawan Gunung K2


  • Primer
  • Ahad, 24 Jul 2022

Ravichandran tiba di puncak Gunung K2 pada pukul 10.50 pagi, Jumaat lalu. — Facebook

PENDAKI solo orang kurang upaya (OKU) negara, T Ravichandran dinobatkan sebagai pendaki pertama Malaysia yang berjaya menawan gunung kedua tertinggi dunia, K2 di Pakistan pada ketinggian 8,611 meter.

Pendaki berusia 57 tahun itu tiba di puncak gunung tersebut pada pukul 10.50 pagi, Jumaat lalu bersama lima pendaki solo dunia lain diiringi lima malim gunung.

Sebelum ini, Ravichandran telah melakar sejarah apabila berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia, Gunung Everest berketinggian 8,848 meter untuk kali ketiga pada 12 Mei lalu selepas 2006 dan 2007.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Ravichandran meluahkan rasa gembira dan bangga di atas kejayaan tersebut.

"Saya berjaya kibarkan Jalur Gemilang di puncak K2. Tanda semangat kemerdekaan yang seharusnya rakyat Malaysia tidak lupakan pada 31 Ogos depan.

"Semangat cintakan negara, hidup dalam aman dan harmoni. Itu kunci perpaduan yang patut disemai dalam jiwa di mana ia menjadi kekuatan untuk saya harungi kesukaran sepanjang pendakian.

"Terima kasih kepada isteri saya yang tercinta, anda adalah kekuatan untuk saya berjaya. Tidak lupa kepada keluarga, rakan-rakan, penaja-penaja dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya sampai ke puncak," katanya.

Ujar Ravichandran, menjadi seorang OKU tidak memperlihatkan dirinya lemah, tetapi mampu berjaya dengan membina kekuatan dalam diri, setanding dengan orang yang sempurna.

Tambahnya, tiada yang mustahil untuk bangkit kembali jika terjatuh.

"Itu pengalaman pendakian yang saya tempuh dalam ekspedisi kali ini. Ini hadiah saya buat rakyat Malaysia. Merdeka!" katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia merupakan satu kejayaan yang luar biasa dan perlu dibanggakan.

Menurutnya, semangat dan jiwa Ravichandran perlu dijadikan contoh teladan untuk anak bangsa di negara ini.

"Kejayaan T Ravichandran sudah pasti merupakan antara hadiah tak ternilai untuk bulan merdeka nanti," ujarnya di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram