[VIDEO] Detik-detik cemas Kremlin diserang dron Ukraine, cubaan bunuh Presiden Rusia


  • Benua
  • Rabu, 03 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan detik serangan dilakukan terhadap bangunan pentadbiran kerajaan Rusia di Kremlin.

RUSIA menuduh Ukraine melakukan serangan ke atas Kremlin dalam usaha untuk membunuh Presiden, Vladimir Putin.

Kremlin pada Rabu berkata, dua dron digunakan dalam serangan didakwa menyasarkan kediaman Putin di Kremlin.

Namun begitu, dilaporkan usaha serangan tersebut berjaya dilumpuhkan teknologi pertahanan elektronik negara tersebut.

Kremlin turut berkata, Rusia berhak untuk membalas dendam.

"Dua kenderaan udara tanpa pemandu disasarkan ke Kremlin. Hasil daripada tindakan pantas diambil tentera dan perkhidmatan khas dengan penggunaan sistem perang radar, peranti itu tidak dapat digunakan," kata Kremlin dalam satu kenyataan.

"Kami menganggap tindakan ini sebagai tindakan pengganas yang dirancang dan percubaan meragut nyawa presiden, yang dilakukan pada malam sebelum Hari Kemenangan, Perarakan 9 Mei, di mana kehadiran tetamu asing juga dirancang.

“... Pihak Rusia mempunyai hak untuk mengambil tindakan balas yang difikir patut dilakukan."

Dalam pada itu, Ukraine berkata ia 'tiada kaitan' dengan dakwaan serangan dron ke atas Kremlin.

"Ukraine tidak ada kaitan dengan serangan dron ke atas Kremlin," kata jurucakap presiden Mikhaylo Podolyak.

"Ukraine tidak menyerang Kremlin kerana, pertamanya, ia tidak menyelesaikan sebarang matlamat ketenteraan," tambahnya.

Saluran Telegram yang mempunyai kaitan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang Rusia, Baza, menyiarkan video memaparkan objek terbang menghampiri kubah bangunan Senat Kremlin yang menghadap Dataran Merah di pusat negara tersebut.

Objek tersebut bagaimanapun meletup sebelum sempat sampai ke bangunan terbabit.

Kenyataan daripada Pejabat Presiden berkata, serpihan dron telah bertaburan di wilayah kompleks Kremlin namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda direkodkan.

Agensi berita, RIA berkata, Putin tidak berada di Kremlin pada ketika serangan berlaku, dan sedang bekerja pada hari Rabu di kediamannya di Novo Ogaryovo di luar Moscow.

"Akibat tindakan pengganas ini, presiden Persekutuan Rusia tidak cedera. Jadual kerjanya tidak berubah, dia bekerja seperti biasa," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dalam satu kenyataan.

Berikutan percubaan serangan itu, Moscow mengharamkan penerbangan dron di ibu negara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram