Program bantuan makanan digantung, rakyat Palestin diancam kebuluran


  • Benua
  • Isnin, 08 Mei 2023

Penduduk Palestin menyertai perhimpunan membantah keputusan penggantungan bantuan kepada lebih 200,000 rakyat di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, di bandar Gaza. — Reuters

PENDERITAAN penduduk Palestin bagaikan tiada titik noktah apabila terus diuji dengan ancaman kebuluran.

Ia susulan Program Makanan Sedunia (WFP) bakal menggantung bantuan makanan kepada lebih 200,000 warga Palestin bermula Jun.

Menurut Pengarah WFP Palestin, Samer Abdeljaber, keputusan perit itu terpaksa dibuat berikutan isu kekurangan dana yang sangat teruk.

"WFP akan mula menggantung bantuan kepada lebih 200,000 orang iaitu 60 peratus daripada keseluruhan penerima, mulai Jun,” katanya.

Keluarga di Gaza, kawasan yang berdepan masalah kekurangan makanan dan kemiskinan paling tinggi menjadi antara golongan paling teruk terjejas, selain penduduk di Tebing Barat.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menawarkan baucar bulanan bernilai AS$10.30 (RM45.70) beserta bakul makanan kepada warga Palestin.

WhatsApp Image 2023-05-08 at 9.23.52 AM

Kira-kira 80 peratus penduduk Gaza bergantung kepada bantuan antarabangsa. — Reuters

Kedua-dua program berkenaan akan terjejas dengan keputusan itu.

Bagaimanapun, Samer berkata, WFP akan terus mengagihkan bantuan kepada 140,000 penduduk Gaza dan Tebing Barat.

Beliau turut memberitahu bahawa keputusan penggantungan itu dibuat bagi menyelamatkan golongan miskin yang tidak berkemampuan mendapatkan akses makanan.

“Namun penggantungan tersebut boleh dianjakkan ke Ogos depan jika pihaknya menerima bantuan kewangan.

"Kita faham implikasi keputusan sukar yang tidak dapat dielakkan ke atas ratusan ribu orang yang bergantung kepada bantuan makanan untuk keperluan asas mereka," jelasnya.

Berdasarkan rekod Palestin dan PBB, Gaza mempunyai 2.3 juta penduduk dengan 45 peratus daripadanya menganggur, manakala 80 peratus pula bergantung kepada bantuan antarabangsa. — Reuters

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram