[VIDEO] YouTuber sanggup hancurkan Lamborghini demi ‘content sampah’


  • Benua
  • Isnin, 06 Mac 2023

Klip itu mengumpulkan lebih tujuh juta tontonan dan memungut kira-kira 700,000 tanda suka di YouTube.

DALAM usaha untuk melakukan gimik pemasaran, YouTuber popular Rusia dikenali dengan nama Mikhail Litvin, memusnahkan sepenuhnya sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Lamborghini Urus.

Kereta itu yang dijual dengan harga permulaan hampir RM2 juta dihancurkan demi untuk mempromosikan jenama minuman tenaganya.

Litvin berkongsi video itu di YouTubenya, yang mana dia mempunyai lebih daripada 10 juta pengikut.

Menerusi klip tersebut, dipaparkan replika tin minuman jenamanya bersaiz kereta digantung pada sebuah kren besar dan kemudiannya dijatuhkan betul-betul dari bahagian atas SUV Lamborghini itu sehingga memusnahkan sepenuhnya kenderaan tersebut.

Dia turut berkongsi video pendek tersebut di Instagramnya dengan hantaran kapsyen "URUS adalah seorang yang baik."

Selepas memuat klip itu, ia mengumpulkan lebih tujuh juta tontonan dan memungut kira-kira 700,000 tanda suka di YouTube.

Pengguna Internet membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi, malah ramai antaranya yang mengecam perbuatan itu dan berkata, "Atas sebab ini, Ferrari memilih pelanggan mereka atas dasar jemputan."

"Adalah menyedihkan untuk hidup dalam masa di mana orang ramai gembira dengan apa yang berlaku. Ramai orang cuba diselamatkan dari bawah runtuhan, seluruh dunia membantu, dan semuanya stabil di Rusia.

"Saya membayangkan apa yang orang akan lakukan pada kamera dalam lima tahun akan datang untuk meraih tontonan," tulis seorang pengguna.

"Saya harap anda akan menderma wang itu untuk kebajikan atau alam sekitar. Manusia yang baik tidak bertindak seperti anda. Jumlah wang yang anda telah bazirkan pada kereta ini boleh menyelamatkan tiga atau atau empat lebih nyawa," kata seorang lagi.

Seorang warganet lain pula mengulas, "Tiada lagi idea lain yang tinggal tentang cara menarik perhatian orang ramai."

Lamborghini Urus merupakan antara SUV terpantas yang dibina di dunia yang dikuasakan dengan enjin petrol pengecas turbo berkembar 4.0 liter V8. Ia dilancarkan pada 2018 dan merupakan SUV mewah dengan ciri empat pintu. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram