Negara tetap hantar wakil ke Olimpik Paris walaupun ada yang boikot — Hannah


  • Podium
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Perkara itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan berkenaan dalam satu sidang media pada Jumaat.

MALAYSIA tetap dengan pendirian yang akan menghantar kontinjen ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis dalam misi memburu emas sulung negara walaupun beberapa negara mahu memboikot penganjuran temasya sukan terbesar dunia itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) itu selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang tidak mahu membawa sebarang isu politik ke dalam sukan.

"Saya tak boleh mengulas mengenai negara lain tapi seperti saya katakan, kita berpegang kepada apa yang telah diputuskan oleh jawatankuasa RTG," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Hannah percaya atlet negara akan memberikan aksi terbaik, sekali gus mencerahkan peluang negara untuk meraih pingat dalam Sukan Olimpik.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman dan Australia sebelum ini dilaporkan memboikot Sukan Olimpik 2024 susulan keputusan IOC membenarkan penyertaan atlet Rusia dan Ukraine di Paris nanti.

Paris-Olympics

Amerika Syarikat dan Jerman antara yang mahu memboikot temasya sukan terbesar dunia itu. Agensi

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, satu pertemuan akan diadakan antaranya dengan jaguh badminton profesional lelaki negara, Lee Zii Jia pada Sabtu bagi mendengar segala permasalahan dihadapi susulan prestasi tidak menentu pemain keempat dunia itu sejak kebelakangan ini.

Sambil mengakui harapan diletakkan rakyat kepada Zii Jia sangat tinggi, Hannah juga membidas lambakan laporan media terhadap pemain berusia 25 tahun itu yang disifatkannya tidak sihat.

Hannah berkata, barisan pemain profesional memerlukan sokongan jitu semua pihak dan segala keperluan ditagih mereka termasuk dalam program RTG juga berbeza antara satu sama lain, maka ruang sentiasa terbuka untuk atlet berjumpa dengannya.

"Mereka boleh WhatsApp dan beritahu kita, tidak perlu mesyuarat rasmi kerana ini boleh menjadi penghalang kerana mereka perlu tunggu mesyuarat baru boleh bincang.

"Komunikasi secara terbuka ini yang kita mahu ada dengan atlet kita kerana pada akhirnya yang masuk gelanggang adalah atlet kita," katanya.

Selain Zii Jia, lima lagi wakil badminton tersenarai dalam program RTG antaranya beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan tiga gandingan profesional iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (campuran); Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (campuran) serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (lelaki).

Baki senarai calon atlet terlibat dalam program RTG adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua lagi wakil dari sukan terjun iaitu Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri. — Astro AWANI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram