MEDIA antarabangsa melaporkan Israel dipercayai dalang di sebalik serangan dron dilengkapi bom ke atas kilang pertahanan Iran di pusat bandar Isfahan, Iran pada Sabtu.
Iran mendakwa dapat memintas dron yang mengenai sasaran industri ketenteraan sekali gus mendapat petunjuk terhadap dalang serangan terbabit.
Malah pembabitan Amerika Syarikat (AS) dalam insiden itu turut dinafikan Jurucakap Pentagon, Brigedier Jeneral Patrick Ryder.
Ryder berkata, tiada tentera AS terlibat dalam serangan di Iran, namun beliau enggan mengulas lanjut, lapor Reuters pada Isnin.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak berhubung program nuklear Iran dan bekalan senjatanya kepada perang Rusia di Ukraine.
Sebuah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dirakam di ruang angkasa Iran dalam kejadian serangan fasiliti ketenteraan di bandar Isfahan pada Sabtu. — Twitter @Defence_IDA
Dalam satu kenyataan kepada media negara Iran, kementerian pertahanan berkata, serangan dron itu berlaku pada malam Sabtu sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan.
Menurut kenyataan itu, tiga dron dilancarkan ke fasiliti berkenaan, namun dua dron berjaya ditembak jatuh.
"Satu daripada tiga dron berkenaan nampaknya berjaya melakukan serangan terhadap bangunan itu, menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian bumbung dan tidak mencederakan sesiapa," katanya.
Video serangan itu juga berjaya dirakam orang awam dan mula tular di media sosial sejak pagi Isnin.
Agensi berita IRNA berkata, serangan itu menyasarkan sebuah kilang pembuatan peluru.
Wilayah Isfahan adalah rumah kepada pangkalan udara yang besar dan beberapa tapak nuklear, termasuk Natanz, yang merupakan pusat program pengayaan uranium Iran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram