[VIDEO] Pemilik trauma, kenderaan dihanyutkan arus deras depan mata


  • Benua
  • Isnin, 01 Mei 2023

Tangkap layar sebuah kenderaan hanyut dibawa arus deras dalam kejadian kepala air di Sumatera Utara, Indonesia pada Ahad.

KEJADIAN kepala air menyebabkan limpahan air Sungai Sembahe di Kabupaten Deliserdang, Sumatera Utara, Indonesia pada Ahad mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk setempat.

Selain menyebabkan kesesakan lalu lintas, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza turut hanyut dibawa arus deras.

Pemiliknya, Hendrik Sitompul yang merupakan warga tempatan dari Medan, Sumatera Utara, terkejut apabila mengetahui kenderaannya hanyut.

Dia yang sedang menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan mengadakan aktiviti riadah di kawasan berhampiran berasa tidak percaya lebih-lebih apabila rakaman kenderaannya itu tular.

“Kenderaan itu ditemukan dalam keadaan yang rosak teruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Badan Tindak Balas Bencana (BPBD) Deliserdang, Amos Karo-Koro, berkata, Hendrik masih lagi berada dalam keadaan trauma dengan insiden tersebut.

“Dia sudah bertemu dengan pihak pengurusan setempat. Kenderaan itu juga sudah dihantar ke Medan dengan menggunakan trak.

“Akibat meletakkan kenderaan berhampiran dengan Sungai Sembahe, maka kereta itu dengan pantas dibawa arus banjir,” jelas Amos.

Kondisi-jalur-Medan-Berastagi-mengalami-kemacetan-akibat-digenangi-banjir1

Kejadian kepala air menyebabkan air sungai melimpah dan mengakibatkan banjir di kawasan berhampiran sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Rakaman kenderaan yang tular berjaya membantu penduduk untuk mengenal pasti kereta berkenaan setelah dihanyutkan kira-kira satu kilometer dari lokasi asal.

BPBD bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada terdapat penumpang lain dalam kenderaan itu sewaktu kejadian berlaku.

Setakat ini tiada mangsa yang dilaporkan terkorban. Namun, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

Untuk rekod, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang (waktu tempatan) itu menyebabkan banjir selain tebing sungai runtuh.

Sebahagian daripada pondok rehat juga musnah dan mengakibatkan timbunan sisa pokok akibat dibawa arus. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram