DISEBABKAN rasa tidak puas hati, seorang anggota tentera lengkap berpakaian unifom sanggup menendang motosikal yang ditunggang oleh wanita bersama seorang kanak-kanak.
Lokasi dipercayai berlaku di Kota Bekasi, Jawa Barat, Indonesia itu dikatakan berpunca daripada anggota terbabit yang marah kerana motosikal ditunggang wanita berkenaan hampir menyebabkan kemalangan.
Nasib wanita dengan kanak-kanak itu baik apabila dia berjaya mengawal motosikal daripada terbabas atau terjatuh selepas ditendang anggota tentera berkenaan.
Berdasarkan rakaman video yang tular, terdapat sebuah motosikal di hadapan wanita terbabit hilang kawalan sehingga menyebabkan dia memberhentikan motosikal secara mengejut.
Kemudian, motosikal yang ditunggang anggota tentera itu tiba lalu merempuh bahagian belakangnya sebelum bertindak agresif.
Susulan insiden tersebut, anggota berkenaan dilaporkan dikenakan hukuman tatatertib oleh pihak atasan.
Menurut laporan media tempatan, Detik, berdasarkan uniform yang dipakai, anggota berkenaan bertugas di Angkatan Udara Tentera Indonesia.
“Individu itu dikenakan tindakan undang-undang atas perbuatannya. Perkara sebegini dianggap serius lebih-lebih lagi ia melibatkan anggota mengenakan unifom.
“Berkasar dengan orang awam juga satu kesalahan yang cukup besar. Oleh itu, kami memohon maaf atas tindakan angkuh tersebut,” jelas jurucakap Tentera Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram