
SEBUAH pusat beli-belah terkemuka di Indonesia, Trans Studio Mall dilaporkan terbakar di Jalan Metro Tanjung Bunga, Kota Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia pada petang Isnin.
Menurut salah seorang pengunjung di situ, kepulan asap hitam tiba-tiba muncul dari tingkat dua bangunan tersebut hingga memaksa pengunjung lari menyelamatkan diri.
"Asap hitam tiba-tiba muncul dari tingkat dua bangunan," kata seorang pengunjung di situ.
Sebilangan pengunjung yang terperangkap dalam kebakaran berkenaan kemudiannya berjaya dipindahkan ke kawasan bumbung dan balkoni hasil bantuan dari pihak Bomba Makassar.
Pegawai bomba juga difahamkan terpaksa memecahkan tingkap bangunan terbabit bagi membebaskan asap tebal.
Pasukan bomba berjaya memadamkan api marak sekitar pukul 8.45 malam. Ketua Pegawai Bomba Makassar, Sofyan berkata, proses pemadaman api di pusat beli-belah itu mengambil masa hampir satu jam.
“Proses pemindahan kini sedang dijalankan, kebakaran berjaya dihentikan namun kami masih melakukan operasi pembersihan bagi memastikan tiada lagi hotspot saki-baki kejadian yang tinggal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sulawesi Selatan, Setyo Boedi Moempoeni Harso mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian kebakaran di Trans Studio Mall Makassar tersebut.
"Jadi, mangsa masih di hospital dan pihak kami dalam proses mengumpul data. Tiada kematian dilaporkan berlaku," jelasnya.
Polis kini masih menjalankan siasatan punca sebenar kebakaran yang melanda di Trans Studio Mall Makassar.
Setyo melaporkan, pihaknya kini sedang melakukan siasatan lanjut di tempat kejadian dengan dibantu pegawai dari Makmal Forensik.
Pihaknya masih mengumpul bukti dan keterangan saksi di lokasi kejadian.
Pengarah Utama syarikat Trans Kalla Makassar, Max Kambuan mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada litar pintas elektrik di tempat swafoto pengunjung.
"Memang kita ada photo booth atau tempat swafoto untuk pengunjung.
"Mungkin ramai pengunjung yang pegang kabel di bahagian belakang sehingga menyebabkan berlaku litar pintas," ujar Max.
Susulan kejadian itu, Datuk Bandar Makassar, Mohammad Ramdhan Pomanto atau Danny Pomanto berkata, Kerajaan Kota Makassar akan menanggung segala kos rawatan mangsa kebakaran.
“Mengenai kos, semuanya ditanggung oleh kerajaan bandar, itu sudah pasti,” ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram