[VIDEO] Lelaki 'koyak' dengan tangisan bayi, marah si ibu tanpa rasa malu


  • Benua
  • Jumaat, 21 Apr 2023

Tangkap layar seorang lelaki menjerit memarahi seorang wanita kerana bayinya menangis dalam pesawat Southwest Airlines.

SEORANG lelaki menerima kecaman masyarakat selepas tindakannya menjerit memarahi seorang wanita kerana bayinya menangis dalam pesawat Southwest Airlines menjadi tular di media sosial.

Video tersebut dimuat naik oleh salah seorang penumpang di akaun TikTok @mjgrabowski Selasa lalu.

Pemilik akaun TikTok, Mark Grabowski berkata, pesawat itu menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood, Amerika Syarikat pada hari Isnin tetapi tertangguh di udara selama kira-kira sejam kerana cuaca buruk.

Pesawat itu akhirnya diarahkan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando (MCO) bagi membuat pendaratan.

"Cuaca agak teruk serta keadaan agak tidak selesa. Semua penumpang juga tidak dibenarkan berganjak daripada tempat duduk.

"Secara tiba-tiba penumpang itu berteriak dan menyuruh wanita berkenaan untuk menenangkan bayinya. Pramugari Southwest bertindak pantas dan memindahkan seorang wanita dan bayi itu ke bahagian lain pesawat itu," katanya.

Dalam video tersebut, kedengaran lelaki itu meminta wanita berkenaan menenangkan bayinya yang menangis.

"Boleh tolong tenangkan kanak-kanak itu? Saya memakai fon kepala. Saya sedang tidur.

"Kenapa bayi itu menjerit? Saya tidak menjerit. Mahu saya menjerit? Saya akan menjerit. Tolong hentikan bayi itu," katanya.

Beberapa anak kapal Southwest turut dilihat cuba bercakap dengan lelaki itu untuk menenangkannya, sebelum salah seorang daripada mereka menghubungi pihak berkuasa.

Sementara itu, Southwest Airlines enggan mengulas secara spesifik mengenai situasi itu tetapi memuji anak kapalnya kerana menangani situasi itu.

"Kami memuji krew kami kerana mempamerkan profesionalisme yang cemerlang semasa mengendalikan situasi yang mencabar, dan kami memohon maaf kepada pelanggan lain di atas kapal yang terpaksa berdepan dengan situasi tersebut," kata syarikat penerbangan itu.

Dalam perkembangan lain, polis Orlando mengesahkan bahawa pegawainya mengiringi lelaki itu keluar dari pesawat dan tiada tangkapan dibuat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram