KAPAL angkasa Starship generasi seterusnya, milik SpaceX meletup beberapa minit selepas membuat pelepasan dalam penerbangan ujian tanpa kru dari South Texas, Amerika Syarikat pada Khamis.
Perkembangan itu menjejaskan langkah penting dalam usaha pembangunan kapal roket oleh Elon Musk untuk membawa manusia ke bulan dan planet Marikh.
Ujian penerbangan itu adalah kali pertama untuk Starship yang dilancarkan dengan menggunakan roket baharu syarikat berkenaan, iaitu Super Heavy yang dicanang oleh SpaceX sebagai kenderaan pelancar paling berkuasa di Bumi.
Walaupun kapal dengan roket dua peringkat itu merekodkan kurang daripada separuh perjalanan menghampiri ruang angkasa, penerbangan itu dilaporkan mencapai sasaran utamanya bagi memastikan kenderaan baharu berkenaan dapat berlepas daripada darat meskipun beberapa enjinnya mengalami kegagalan.
Di sebalik mesej positif dikongsikan pegawai SpaceX berkenaan hasil diperolehi, misi tersebut gagal mencapai beberapa objektif ditetapkan.
Antara rancangannya adalah supaya Starship berlepas ke angkasa ke sekurang-kurangnya 150 kilometer di atas permukaan Bumi sebelum ia akan memasuki semula atmosfera dan jatuh ke lautan Pasifik berhampiran Hawaii.
SpaceX dalam satu kenyataan berkata enjin kapal angkasa itu beberapa kali kehilangan tenaga semasa pendakian dan kemudiannya hilang keupayaan untuk mendaki dan mula jatuh.
Katanya, susulan situasi itu juga, sistem penamatan penerbangan telah diaktifkan kepada roket penggalak dan kapal.
Musk yang merupakan pengasas, ketua eksekutif dan ketua jurutera SpaceX sebelum itu tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam misi tersebut dan menjangkakan kemungkinan kecil kejayaan dalam ujian pertama itu.
Presiden SpaceX, Gwynne Shotwell memberitahu persidangan pada Februari bahawa 'matlamat sebenar adalah untuk tidak meletupkan pad pelancaran.'
Dengan ukuran itu, penerbangan sulung Starship dengan roket penggalaknya mewakili satu kejayaan dalam cita-cita SpaceX untuk menghantar semula angkasawan ke bulan dan akhirnya ke Marikh.
Ia juga merupakan rakan kongsi utama program penerbangan angkasa lepas manusia NASA yang baru dirasmikan iaitu iaitu Artemis.
Ujian penerbangan itu turut disaksikan secara langsung oleh orang ramai. — Agensi
Ketua NASA, Bill Nelson mengucapkan penghargaan kepada SpaceX di Twitter dengan, 'Setiap pencapaian hebat sepanjang sejarah menuntut beberapa risiko, kerana dengan risiko yang besar datang ganjaran yang besar."
Kapal angkasa dengan roket dua peringkat yang memiliki ketinggian lebih daripada Patung Liberty dengan ukuran 120 meter itu meletup ketika berada di pelabuhan angkasa, Starbase syarikat tersebut.
SpaceX sebelum itu berharap penerbangan sulung itu akan berlangsung selama 90 minit.
Siaran secara langsung di lawam web SpaceX menunjukkan kapal roket itu naik dari menara pelancaran ke langit pada waktu pagi.
Namun begitu, kurang daripada empat minit penerbangan, bahagian atas Starship gagal dipisahkan seperti yang dijangka daripada bahagian bawah roket Super Heavy dengan kapal angkasa itu dilihat menjunam ke bawah sebelum meletup.
Pad dan kawasan sekitar pelancaran telah dikawal sebelum ujian dilaksanakan, kata SpaceX.
Sebarang serpihan daripada letupan sepatutnya mendarat di atas air di kawasan larangan di bawah pengawasan Pengawal Pantai AS.
Kapal angkasa itu mencapai ketinggian puncak kira-kira 39 kilometer sebelum berkecai, kata SpaceX.
Syarikat itu juga menyatakan bahawa roket itu mencapai titik kritikal tekanan aerodinamik maksimum ketika pelancaran sebelum kelihatan hilang kawalan.
Ketika siaran langsung, pegawai SpaceX memuji pelepasan itu dan menyifatkannya sebagai pencapaian yang dinanti-nantikan.
Malah, sekumpulan pekerja SpaceX yang bersama-sama di ibu pejabat syarikat itu berhampiran Los Angeles dipaparkan bersorak ketika roket itu berlepas dan kemudiannya meletup.
Sementara itu, Musk, yang dipaparkan berada di bilik kawalan misi Starbase di Boca Chica, Texas, berkata di Twitter selepas itu bahawa pelancaran ujian Starship seterusnya akan dibuat dalam beberapa bulan.
"Tahniah pasukan @SpaceX atas pelancaran ujian Starship yang menarik! Banyak belajar untuk pelancaran ujian seterusnya," menurutnya dalam ciapan tersebut.
Musk, yang membeli Twitter tahun lepas dengan harga AS$44 bilion, juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif pembuat kereta elektrik Tesla Inc.
Jurutera penyepaduan utama SpaceX John Insprucker yang juga salah seorang pengulas pelancaran itu berkata, pengalaman misi itu akan menyediakan banyak data untuk ujian penerbangan selanjutnya.
Jurutera penyepaduan utama SpaceX John Insprucker yang juga salah seorang pengulas siaran web, berkata pengalaman itu akan menyediakan banyak data untuk memaklumkan ujian penerbangan selanjutnya.
Dilaporkan, usaha menjayakan pelancaran pada Khamis itu juga sebelum ini berhadapan dengan beberapa masalah.
Sebelum ini, ujian dilaksanakan terhadap Super Heavy semasa dipasang pada platform hanya berjaya 31 enjin pada Februari lalu.
Ujian sebelum itu yang dilakukan pada Julai 2022 berakhir dengan bahagian enjin kenderaan itu meletup.
Sebelum itu, SpaceX melancarkan ujian prototaip bahagian atas Starship dalam lima penerbangan pendek pada ketinggian 9.7 kilometer dalam usahanya menyempurnakan keupayaan pendaratan.
Empat daripada lima ujian tersebut berakhir dengan kapal angkasa tersebut terhempas.
Kegagalan Khamis itu memperhebatkan lagi cabaran dihadapi SpaceX untuk bergerak melangkaui roket Falcon 9, iaitu perniagaan pembinaan satelit syarikat tersebut.
Super Heavy dan Starship masing-masing direka sebagai komponen yang boleh diguna semula dan mampu terbang kembali ke Bumi untuk pendaratan dalam proses yang telah menjadi rutin dalam puluhan misi bagi roket Falcon 9.
Dilaporkan, usaha menjayakan pelancaran pada Khamis itu juga sebelum ini berhadapan dengan beberapa masalah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram