Polis 'kebal' undang-undang kena kecam berjemaah


  • Benua
  • Jumaat, 21 Apr 2023

Anggota polis tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

TINDAKAN dua anggota polis menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar mendapat perhatian dan kecaman warga maya.

Video berkenaan dirakam oleh dua orang gadis yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Video tersebut juga mendapat perhatian warga maya kerana ia menunjukkan bagaimana penguatkuasa undang-undang sendiri melanggar peraturan lalu lintas sekali gus tidak mempedulikan keselamatan jalan raya.

Menerusi perkongsian video di Twitter yang berdurasi satu minit 28 saat itu menunjukkan dua anggota polis yang menunggang motosikal jelas melanggar peraturan jalan raya.

Video yang dirakam di Ghaziabad, Uttar Pradesh menunjukkan kedua polis tersebut dilihat memecut seolah-olah mereka cuba melarikan diri daripada dirakam selepas ditegur oleh dua orang gadis tersebut.

Kejadian di India itu mendapat 400,000 tontonan di media sosial yang mana rata-rata warga maya tidak bersetuju dengan tindakan anggota polis itu kerana menunjukkan contoh tidak baik kepada pengguna jalan raya yang lain.

Namun begitu, polis trafik Ghaziabad berkata pihak mereka telah mengeluarkan saman terhadap dua anggota polis itu dan masing-masing didenda RM54 seorang.

Pemakaian topi keledar semasa menunggang motosikal atau skuter adalah wajib di India dan jika gagal mengikut peraturan, polis akan mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram