SEORANG lelaki ditahan polis kerana merogol dan membunuh seorang doktor wanita di Papua Tengah, Indonesia baru-baru ini.
Suspek, Key Wengge membunuh Mawarty Susanty yang bertugas sebagai seorang doktor pakar di Hospital Umum Daerah Nabire, Papua Tengah.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Nabire, Ahmad Alfian berkata, suspek bekerja sebagai pekerja pembersihan di tempat yang sama mangsa bekerja.
"Dalam kejadian yang berlaku pada 9 Mac lalu, Key Wengge melakukan perbuatan terkutuk dengan merogol jasad mangsa setelah membunuhnya.
"Kejadian itu berlaku di rumah mangsa sendiri di Kelurahan Siriwini, Nabire, Papua Tengah.
"Suspek memasuki rumah mangsa Mawarty menerusi siling bumbung dan suspek kemudiannya mengambil sehelai kain untuk menutup mukanya," katanya yang menceritakan kembali kronologi kejadian pada pemberita.
Tambah Ahmad lagi, mangsa yang keluar dari bilik menyedari kehadiran suspek cuba untuk melarikan diri namun gagal.
"Difahamkan Mawarty cuba melawan namun suspek menumbuk mangsa di dada dan leher beberapa kali. Suspek kemudiannya mencekik mangsa sehingga mati.
"Lebih kejam lagi, suspek kemudiannya mengangkat mangsa ke atas katil dan terus merogolnya yang sudah tidak bernyawa," katanya.
Ahmad berkata, selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, Key Wengge mematikan telefon bimbit mangsa yang berdering dan menyembunyikan peranti pintar tersebut.
"Suspek juga sempat menghisap rokok sebelum meninggalkan tempat kejadian," jelasnya.
Sebelum ini media antarabangsa detik.com melaporkan suspek membunuh Mawarty kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang memotong insentif Covid-19 suspek pada 2020.
Melalui siasatan awal polis, suspek mengaku membunuh dan merogol Mawarty kerana memotong insentifnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram