Wanita AS nasihat jangan beli, pakai baju renang warna biru muda demi keselamatan


  • Benua
  • Ahad, 16 Apr 2023

Scarnati menasihati agar ibu bapa peka terhadap keselamatan anak-anak dengan tidak memakaikan baju renang warna biru muda kepada mereka. — Agensi 

ATAS dasar keselamatan, seorang wanita menyuarakan larangan terhadap pembelian pakaian renang berwarna biru muda kepada kanak-kanak.

Perkara itu dilakukan oleh individu di media sosial TikTok dan dikenali sebagai Nikki Scarnati yang mengatakan dia mempunyai alasan kukuh melarang perkara itu.

“Ini mengapa saya tidak membenarkan kanak-kanak memakai baju warna biru muda terutama ketika sedang bermandi di dalam kolam renang.

“Disebabkan warna pakaian berkenaan seakan-akan dengan persekitaran kolam menyebabkan kanak-kanak terbabit sukar untuk dilihat dan berkemungkinan akan menjejaskan keselamatan mereka,” kata wanita dipercayai asal Amerika Syarikat itu.

Dalam pada itu, Scarnati turut menunjukkan keadaan yang mana anaknya mengenakan baju renang warna biru muda saat berenang.

“Apa yang ditunjukkan ini ialah ketika hanya ada seorang kanak-kanak saja berenang di kolam yang tenang. Bayangkan bagaimana jika terdapat ramai kanak-kanak yang berenang pada masa yang sama dan mengenakan warna begitu," soalnya.

majoriti2023 (16)

Pilihan warna pakaian renang yang betul turut mempengaruhi tahap keselamatan kanak-kanak ketika mereka berenang.

Sementara itu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, kanak-kanak lingkungan umur satu hingga empat mati lemas disebabkan kesilapan pemilihan warna itu.

Kata Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pencegahan Lemas Kebangsaan, Adam Katchmarchi, ibu bapa perlu peka dengan pemilihan warna pakaian renang anak-anak dan tidak boleh memandang mudah tentang perkara itu.

“Untuk bayi atau kanak-kanak yang masih kecil, ibu bapa digalakkan memilih pakaian renang rona terang seperti kuning, jingga, hijau atau neon. Ini dapat membantu penglihatan kehadiran mereka saat berada di dalam kolam atau persekitaran air.

“Memakai pakaian renang yang sebati dengan persekitaran boleh menyukarkan untuk mengenali dan tindak balas kepada situasi kecemasan,” ujarnya.

Pada 2021, kumpulan keselamatan akuatik Alive Solutions menguji 14 warna pakaian renang yang berbeza di dua lokasi berlainan iaitu kolam renang dan tasik.

Hasil penelitian mendapati warna terang dan kontra khususnya neon paling mudah dilihat dan kenal pasti berbanding pakaian renang berwarna biru muda dan putih.

“Warna-warna yang sama mempunyai keterlihatan tertinggi dalam kolam yang memiliki dasar gelap, mahupun kawasan tasik.

“Jadi pilih pakaian renang berwarna terang kepada kanak-kanak demi menjamin keselamatan mereka,” tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram