PELAKON tersohor Hollywood, Arnold Schwarzenegger menerima ucapan terima kasih dari penduduk di Jalan Mandeville Canyon di Brentwood, California, Amerika Syarikat atas tindakannya yang membaiki dan menurap jalan berlubang di beberapa laluan di lokasi tersebut.
Bekas Gabenor Amerika Syarikat itu bersama pasukannya difahamkan melakukan perkara itu selepas penat menanti bantuan daripada pihak atasan yang lewat melakukan kerja baik pulih jalan tersebut.
Namun, sebaik selesai menurap laluan berkenaan, penduduk di kota Los Angeles menjelaskan bahawa ia sebenarnya bukan jalan berlubang, tetapi sebuah saluran parit yang sememangnya perlu berada di situ.
Menurut SoCalGas, syarikat utiliti membina parit tersebut untuk membaiki saluran paip dan pihaknya menjelaskan bahawa projek itu telah berakhir pada Januari lepas namun ia masih belum diturap kerana cuaca hujan lebat yang melanda.
Arnold menerusi laman Twitternya berkata, dia hanya membantu pihak syarikat tersebut kerana mengambil tempoh yang terlampau lama untuk membaiki jalan berkenaan.
"Nampaknya, mereka fikir ia adalah satu rancangan yang baik dan mengambil masa selama enam bulan untuk menutup parit itu, jadi saya hanya membantu mereka," ciapnya di Twitter.
SoCalGs berkata, sekiranya mahu menyelesaikan tugas tersebut, proses baik pulih saluran parit itu perlu diselesaikan segera pada minggu depan.
Sementara itu, Arnold yang lebih dikenali dengan watak 'Terminator' akan kekal menjalankan tugas tersebut dan sebarang keperluan lanjut, dia dan pasukannya akan kembali melakukan perkara sama.
Tindakan Arnold itu dilihat memiliki persamaan dengan Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando yang sering menurap jalan rosak dan berlubang di Malaysia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram