SUSULAN insiden letupan ketika Perdana Menteri Jepun, Kishida Fumio sedang berucap di sebuah pelabuhan di barat negara itu, seorang lelaki disyaki membaling bom berkenaan ditahan oleh pihak polis pada Sabtu untuk membantu siasatan.
Suspek, Kimura Ryuji, 24, yang ditahan kerana menghalang acara berkenaan bagaimanapun masih mendiamkan diri ketika dicekup pihak polis.
Sumber siasatan memberitahu sebuah agensi berita bahawa suspek mempunyai dua objek berbentuk silinder, salah satunya meletup, manakala satu lagi dirampas oleh pihak berkuasa.
Kishida pada hari sama dilaporkan meninggalkan kawasan berkenaan selepas terdengar satu letupan di kawasan tersebut.
Pihak berkuasa melaporkan tiada sebarang kecederaan ketika insiden terbabit berlaku.
Kishida ketika itu sedang melawat Pelabuhan Saikazaki di wilayah Wayama pada jam 11.20 pagi.
Insiden letupan berkenaan turut menyebabkan beliau terpaksa membatalkan sesi ucapannya di lokasi terbabit.
Bagaimanapun, Kishida terus menyampaikan ucapannya di hadapan stesen kereta api Wakayama.
"Kita akan mengadakan pilihan raya yang penting untuk negara dan kita perlu bekerjasama untuk melihat proses (keputusan pilihan raya) hingga ke penamatnya," katanya.
Pusingan kedua pilihan raya tempatan akan berlangsung pada 23 April dan pengundi akan memilih datuk bandar dan ahli dewan di majlis perbandaran yang lebih kecil.
Pilihan raya kecil dibuat bagi mengisi kekosongan lima kerusi dewan undangan rendah dan atas juga akan diadakan pada hari tersebut.
Pada Julai tahun lalu, bekas Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo ditembak dan dibunuh di bandar Nara ketika memberi ucapan kempen.
Suspek, Yamagami Tetsuya yang berusia 42 tahun pada ketika itu didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk membunuh bekas pemimpin negara terbabit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram