SEORANG lelaki berpelakuan pelik apabila dilihat menampal pelekat Quick Response Code Indonesian Standard (QRIS) milik akaun bank peribadinya di beberapa tabung masjid dekat Jakarta, Indonesia sejak minggu lepas.
Dalam sebuah rakaman kamera litar tertutup CCTV, pemuda berkaca mata itu sedang leka melekatkan kod bar QRIS pada tabung derma di Masjid Nurul Iman, Blok M Square, Jakarta Selatan, Indonesia.
Bukan hanya di sebuah masjid, perbuatan itu dikatakan turut dilakukan di beberapa lagi buah masjid lain antaranya Masjidil Haram Al-Azhar, Kabayoran Baru, Jakarta Selatan.
Ketua Pejabat Masjid Agung Al-Azhar Kebayoran Baru, Iding berkata, kejadian itu telah berlaku beberapa hari lalu namun, Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Masjidil Haram Al-Azhar difahamkan baru maklum tentang perkara tersebut pada petang Ahad.
"Kejadian itu baru disedari pada Ahad malam, tetapi jika dilihat melalui kamera CCTV, insiden itu berlaku sejak 6 April lalu," kata Iding.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Jabatan Komunikasi Bank Indonesia (BI), Erwin Erwin Haryono berkata, sistem pendigitalan sebenarnya memberikan banyak kemudahan dan faedah kepada semua pihak.
“Tetapi pada masa yang sama, jenayah sentiasa ada termasuk mereka yang mengambil kesempatan atas kemudahan ini,” kata Erwin.
Beliau turut merayu kepada pengguna agar berhati-hati menggunakan QRIS dan menjadikan kes terbabit sebagai satu pengajaran.
Seseorang individu itu boleh mendapatkan QRIS dengan mendaftar sebagai peniaga atau melalui Penyedia Perkhidmatan Pembayaran (PJP) berlesen yang telah menjadi pengendali QRIS.
Semasa proses pendaftaran, peniaga perlu memenuhi keperluan yang ditetapkan, termasuk data seperti identiti dan profil perniagaan.
Sementara itu, bagi peniaga tempat ibadat atau sumbangan sosial, Erwin berkata, terdapat dokumen tambahan yang perlu disertakan.
Ini bagi memastikan ia benar-benar merupakan sebuah tempat ibadat atau sumbangan sosial, supaya kadar Diskaun Peniaga (MDR) sebanyak kosong peratus untuk peniaga dapat ditetapkan.
"Dalam kes penyalahgunaan QRIS di rumah ibadat di Jakarta, pelaku mendaftar sebagai peniaga QRIS dengan nama pemulihan masjid, tetapi peniaga itu tidak didaftarkan sebagai tempat ibadat sebaliknya hanya sebagai peniaga biasa," katanya.
Tambahnya, pihaknya telah menyekat QRIS di masjid berkenaan supaya ia tidak boleh digunakan lagi.
"Bank Indonesia juga telah memaklumkan kepada semua PJP untuk mengetahui cara penyalahgunaan QRIS," tambahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram