[VIDEO] Tragis, 2 maut belon udara terbakar di tapak arkeologi Teotihuacan


  • Benua
  • Ahad, 02 Apr 2023

Tangkap layar detik belon udara panas yang terbang di atas tapak arkeologi terkenal Teotihuacan terbakar. — Agensi

DUA pelancong maut apabila belon udara panas yang terbang di atas tapak arkeologi terkenal Teotihuacan berhampiran Bandar Raya Mexico terbakar, kata pihak berkuasa pada Sabtu.

“Penumpang terjun dari belon,” kata kerajaan negeri Mexico dalam satu kenyataan, sambil menambah seorang kanak-kanak melecur.

Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut dikenal pasti sebagai seorang wanita berusia 39 tahun dan seorang lelaki berusia 50 tahun.

Manakala, kanak-kanak berkenaan melecur tahap kedua di muka serta patah tulang paha kanan.

Memetik laporan media antarabangsa, NDTV.com, tidak dapat dipastikan sama ada terdapat penumpang lain dalam tragedi malang tersebut.

Dalam satu video tular yang dimuat naik di sosial media menunjukkan belon udara panas berkenaan terbakar ketika keadaan cuaca yang baik, sekali gus menolak dakwaan punca kejadian akibat cuaca buruk.

Difahamkan, beberapa pengendali pelancongan menawarkan penerbangan belon melalui Teotihuacan, kira-kira 45 batu (70 kilometer) timur laut Mexico City, dengan harga sekitar 150 dollar Amerika(RM661).

Teotihuacan ialah destinasi pelancongan yang popular yang dengan tapak arkeologi dan mempunyai pelbagai tarikan yang menarik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram