DETIK-detik runtuhnya kubah Masjid Ittifaqul Jamaah Pattingalloang, di Ujung Tanah, Utara Makassar, Indonesia ketkia waktu solat tarawoh pada Ahad masih memberi bayangan menakutkan untuk sebahagian jemaah rumah ibadat tersebut.
Kejadian yang mengakibatkan kecederaan kepada 14 orang jemaah itu berlaku pada pukul 7.45 waktu tempatan
Ketika insiden itu berlaku, penceramah, Qadri Wahyu sedang menyampaikan pengajaran tentang mukjizat surah al-Fatihah di hadapan jemaah.
Keadaan tempat di mana runtuhan kubah di masjid berkenaan jatuh. — Agensi
Namun kemudiannya, secara tiba-tiba, kubah masjid diperbuat daripada simen yang berada di tengah-tengah ruangan masjid runtuh.
Ia mengakibatkan sebahagian jemaah yang duduk di bahagian bawah kubah dihempap oleh runtuhan kubah berkenaan.
“Saya di saf pertama betul-betul di belakang Imam (M Amran),” kata Setiausaha Pengurusan Masjid Ittifaqul, Haji Absir kepada Tribun.
Bercerita lebih lanjut, Haji Absir yang masih jelas mengingat kejadian itu berkata, penceramah terbabit baru sahaja memulakan penyampaian kuliah sebagai pengisian sebelum solat terawih
"Ketika itu ustaz mengajak jemaah baca al-Fatihah, sebagai mukjizat untuk menjaga diri. Selepas itu, serta merta terdengar bunyi dari atas, dan kubahnya jatuh," kata Haji Absir.
Sebagai setiausaha takmir masjid, Haji Absir sentiasa duduk di saf pertama.
Semasa kejadian, sekitar 200 jemaah lelaki baharu sahaja selesai menunaikan solat Isyak dengan jemaah perempuan berada di tingkat dua.
Tiada mangsa terlibat membabitkan jemaah wanita kerana kubah di tingkat tiga itu runtuh terus menimpa jatuh di bahagian tingkat pertama masjid berkenaan.
Mangsa paling tua terlibat dalam kejadian itu berusia 70 tahun manakala termuda pula berusia 10 tahun.
Sementara itu, mangsa mengalami kecederaan paling teruk menerima 15 jahitan dengan kebanyakan individu lain turut terjejas menghadapi kecederaan di bahagian kepala, bahu dan lengan.
Setakat ini, tiada sebarang korban direkodkan dalam kejadian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram