TINDAKAN seorang wanita yang menari dan sujud di tengah jalan di Kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia pada Jumaat mengundang perhatian ramai.
Mempamerkan perbuatan seperti menunaikan solat, wanita terbabit tidak diendahkan oleh mana-mana pihak sebaliknya terus dibiarkan oleh masyarakat di kawasan terbabit.
Dirakamkan menerusi telefon pintar, seorang individu memberanikan diri untuk menegur dan mendekati wanita berkenaan.
Ketua Unit Jenayah, Polis Medan Kota, Inspektor Widi Lumban Raja berkata, wanita berkelakuan aneh itu difahamkan melarikan diri dari pusat rawatan.
"Wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Y, berusia 22 tahun," katanya.
Berdasarkan maklumat diterima daripada pihak keluarganya, wanita terbabit mengalami masalah gangguan jiwa.
Individu berkenaan kini sedang menjalani rawatan tradisional di Jalan Perfect, Kampung Binjai, Daerah Denai, Bandaraya Medan, Indonesia.
"Sudah seminggu dia menerima rawatan di sana dan ini merupakan kali kedua dia melarikan diri dari pusat rawatan terbabit," jelasnya.
Tambahnya lagi, wanita tersebut mula berpelakuan aneh sejak beberapa minggu lalu dan pihak keluarganya juga buntu dan pelik mengapa perkara itu terjadi.
"Sebelum ini, kami cadangkan untuk membawanya ke hospital mental namun pihak keluarganya masih berkeras mahu mencuba perubatan kampung. Ketika ini, pihak polis sudah menyerahkan Y kepada keluarganya," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram