Motosikal hilang kawalan di laluan curam, penunggang terhumban di ruang tamu penduduk kampung


  • Benua
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Penunggang motosikal kelihatan berbaring di salah satu rumah penduduk.

KEMALANGAN motosikal sering menjadi bualan hangat di media sosial sehingga ada insiden yang meragut nyawa.

Terbaharu, tular satu video kemalangan motosikal yang menjadi tumpuan warga maya di mana seorang lelaki terbaring bersebelahan motosikalnya di dalam sebuah rumah.

Motosikal lelaki tersebut didakwa hilang kawalan ketika menuruni jalan yang agak curam dan akhirnya melanggar salah sebuah rumah penduduk kampung itu.

Insiden yang berlaku menyebabkan mangsa terhumban bersama motosikalnya di dalam rumah penduduk kawasan itu yang kelihatan beberapa orang penduduk sedang membantu.

Menerusi video tersebut, kelihatan keadaan rumah itu bersepah selepas dirempuh penunggang motosikal itu.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Balikpapan, Kalimantan Timur, Indonesia.

Mangsa yang kelihatan sangat lemah dan tidak berdaya itu hanya mampu menutup muka dengan tangannya sambil berbaring di ruang tamu seolah-olah dia adalah penghuni rumah yang sedang berehat.

Namun begitu, kronologi kemalangan yang dialami oleh penunggang motosikal itu masih belum diketahui dan didakwa brek motor itu menjadi faktor kemalangan berlaku.

Dalam pada itu, mangsa yang juga pemilik rumah turut kelihatan membantu penunggang motosikal bersama penduduk sekitar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram