[VIDEO] Ingkar tradisi di Bali, pelancong asing ditegur selamba tuduh petugas adat 'bodoh'


  • Benua
  • Khamis, 23 Mac 2023

Tangkap layar pasangan pelancong asing yang mengingkari tradisi perayaan di Bali, Indonesia.

PERAYAAN Nyepi merupakan sambutan yang diraikan oleh penganut agama Hindu pada setiap tahun baharu Saka dan Bali merupakan salah satu destinasi di Indonesia yang sinonim dengan acara tradisi tersebut.

Mengikut adat dan tradisi penganut agama itu, orang ramai tidak dibenarkan menyalakan lampu dan dilarang untuk beraktiviti di luar sepanjang perayaan itu diadakan.

Namun, dua pelancong warga Poland mengundang kecaman ramai selepas mereka ingkar dan melanggar adat perayaan tersebut baru-baru ini.

Kedua-dua pelancong itu dilihat mendirikan khemah dan berhibur di sebuah kawasan di Bali.

Melihatkan situasi tersebut, beberapa petugas keamanan adat di Bali kemudiannya menegur pelancong berkenaan namun tidak diendahkan oleh si pelaku.

Ketika ditegur, pasangan pelancong itu berkeras enggan beredar dari lokasi berkenaan selain turut mendakwa tidak mengganggu perayaan tersebut.

Gagal mengawal situasi terbabit, petugas berkenaan menghubungi Polis Sukawati dan pertelingkahan itu berjaya diselesaikan selepas kedua-duanya diberikan penjelasan.

Pasangan warga asing itu menjelaskan bahawa mereka mendirikan khemah berhampiran Pantai Purnama di situ kerana tiada tempat tinggal dan kehabisan bekalan makanan.

Selain itu, mereka turut mengalami kesukaran untuk mendapatkan akses pengangkutan ke Pelabuhan Padang Bai, Bali sebelum menyeberang ke Nusa Tenggara Barat (NTB) dan bertolak ke Australia.

Kedua-dua mereka kemudiannya ditahan di Ibu Pejabat Polis Sukawati kerana tidak mempunyai tempat tinggal dan pihak polis turut menyediakan makanan dan minuman kepada mereka.

Polis Sukawati difahamkan akan berhubung dengan pihak imigresen untuk menjalankan siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram