SEORANG pelancong asing bertindak di luar kawalan apabila mengamuk dan mengganas selepas dihalang untuk menunggang motosikal ketika perarakan istiadat Melasti diadakan di Jalan Labuan Sait, Pecatu, Kuta Selatan, Badung, Bali, Indonesia pada Ahad.
Lelaki terbabit yang menunggang bersama teman wanitanya, enggan beredar selepas diarahkan oleh warga tempatan selain turut mencabar dan meninggikan suara ketika kejadian.
Mendakwa sudah menetap di Badung lebih dari dua tahun, kedua-dua pelancong asing itu masih berkeras untuk meneruskan perjalanan di laluan tersebut sehingga mencetuskan provokasi terhadap lelaki berkenaan.
Namun, melihatkan teman wanitanya seperti dikasari, pemuda terbabit kemudiannya lantas turun dari motosikalnya dan menyerang pihak yang bertugas di laluan terbabit.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Kampung Adat Pecatu, Indonesia, Made Sumerta yang mengatakan insiden berkenaan berlaku sekitar pukul 4.00 petang.
"Ya, biasalah orang asing mengamuk seperti itu, belum diketahui sama ada sudah selesai ataupun belum dan kami masih berkomunikasi dengan pihak yang terlibat," katanya.
Jelasnya, kejadian itu berlaku semasa perarakan istiadat Melasti yang diadakan di Jalan Labuan Sait di Bali.
"Apabila selesai perarakan itu, berlaku salah faham dan situasi bertukar serius.
"Bukan mereka tidak diberikan kebenaran, tetapi semua orang termasuk warga tempatan juga diberikan arahan sama untuk tidak melalui kawasan di situ," ujarnya.
Namun, tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan berlaku dan insiden tersebut sudah dilaporkan kepada Pejabat Imigresen Ngurah Rai dan dua individu terbabit sedang diburu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram