PENGARAH sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic mengakui dia sedang mengadakan perbincangan dengan Sadio Mane selepas ada dakwaan mengatakan bekas bintang Liverpool itu tidak gembira dan kurang berpuas hati di kelab tersebut.
Awal tahun ini, bintang dari Senegal itu menutup tirai persembahannya selama enam musim di Anfield dengan menyertai kelab Jerman dalam perpindahan yang dilihat tidak berisiko.
Dia bermula cemerlang apabila menjaringkan tiga gol dalam perlawanan Bundesliga, namun selepas itu prestasinya semakin merosot.
"Mane masih memerlukan sedikit masa, dia juga perlu membiasakan diri dengan Bundesliga, tetapi dia pasti akan dapat berbuat demikian.
"Saya kerap bercakap dengannya. Saya tahu bagaimana rasanya menjadi pendatang baru dalam pasukan, di negara dan bandar yang berbeza, serta dalam budaya bola sepak yang sedikit berbeza.
Mane dikatakan masih dalam proses membiasakan diri di Liverpool. — Agensi
"Mane masih dalam proses membiasakan diri. Dia akan dapat berbuat demikian dan beraksi di atas padang sebaiknya. Dia salah seorang pemain terbaik di dunia dan kami berharap dapat khidmat terbaiknya," kata Salihamidzic kepada Bild.
Sementara itu, pengurus Bayern Munich, Julian Nagelsmann berkata, tiada apa yang luar biasa dengan penampilan Mane yang tidak konsisten.
“Dia pemain baharu. Dia hanya perlu menyesuaikan diri dan dia sedang mencuba. Saya pasti dia akan membuahkan kejayaan untuk kami.
"Semua yang saya perlu katakan tentang Mane, saya akan katakan kepadanya dan bukan kepada media.
"Dia memainkan peranan baharu di sini (pemain sayap)...sudah tentu dia tidak bermain sebegitu banyak dalam posisi itu tahun lalu di Liverpool.
"Ia agak normal sebagai pendatang baharu yang tentunya masih perlu menyesuaikan diri dengan prosedur tertentu yang agak berbeza dengan di Liverpool. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram