Hamil 9 bulan bukan penghalang wanita berlari lebih 1.5km dalam tempoh 5 minit


  • Benua
  • Selasa, 21 Mac 2023

Tangkap layar video memaparkan aksi wanita itu ketika berlari (kiri) meskipun hamil sembilan bulan.

KEBANYAKAN wanita menganggap bahawa tempoh kehamilan adalah waktu paling ideal untuk berehat demi kesihatan diri dan anak dalam kandungan.

Namun, berbeza dengan seorang ibu yang menggunakan momen tersebut sebagai latihan untuk berlari di atas trek.

Meskipun hamil sembilan bulan, ia bukanlah penghalang buat Makenna Myler, 30, untuk melakukan aktiviti lasak.

Wanita itu yang merupakan pelari profesional mengekalkan rutin latihan semasa kehamilan pertamanya pada 2020.

Menerusi video yang dirakam oleh suaminya, dia dilihat berlari sejauh 1.6 kilometer (km) dalam tempoh 5 minit dan 25 saat, ketika kehamilan keduanya pada tahun ini.

Myler menyahut cabaran itu selepas dia membuat pertaruhan dengan suaminya bahawa, dia boleh berlari sepanjang jarak itu dalam masa kurang daripada 8 minit.

Dia bukan sahaja memenangi pertaruhan itu, malah menjangkaui purata masa untuk pelari wanita iaitu 10 minit, menurut Runners World.

Ramai yang menasihatinya supaya tidak melakukan latihan terlalu lasak ketika hamil, namun dia enggan menurut.

"Saya rasa ia adalah perkara biasa untuk berlatih semasa hamil dan ramai yang menganggap ia tidak normal.

"Saya mengenali beberapa pelari hebat yang hamil, namun mereka tidak dapat menahan diri daripada berlari," katanya.

Jelasnya, banyak perkara yang dilakukan demi menguatkan badannya sebelum hamil termasuk melakukan larian.

Selalunya, dia melakukan latihan sebanyak dua kali sehari bagi mengikuti acara lumba lari sepanjang 5km dan 10km. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram