
SEBUAH rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden mengejutkan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun diserang seekor tikus besar ketika sedang menjamu selera bersama keluarganya di sebuah cawangan restoran makan segera terkemuka.
Kejadian itu berlaku pada 8 Mac lalu di bandar Hyderabad, India, dengan bapa budak tersebut tampil membuat aduan polis pada hari berikutnya.
Menerusi klip tersebut, tikus terbabit dilihat merayap sehingga ke seluar pendek dipakai mangsa dan mula menggigit paha kanan kanak-kanak itu sebelum bapanya bertindak menangkap haiwan berkenaan dan melemparkannya ke lantai.
Dalam kenyataan diberikan kepada polis, bapa terbabit mendakwa tikus sebesar 'anak anjing kecil' itu muncul selepas ia dilihat berlari keluar dari bilik air restoran berkenaan.
“Tikus ini kemudian memanjat kaki kiri anak saya dan memasuki seluar pendeknya berhampiran kawasan pangkal pahanya.
“Isteri dan anak lelaki pengadu trauma dengan kejadian ini yang jelas membahayakan kesihatan dan merupakan kecuaian terhadap kebersihan dan sanitasi,” kata laporan itu lagi.
Turut dimasukkan dalam laporan terbabit adalah gambar kecederaan kanak-kanak lelaki itu yang jelas memaparkan dua kesan gigitan di kakinya.
Lampiran gambar bukti menunjukkan kecederaan gigitan dialami oleh kanak-kanak tersebut dalam laporan polis dibuat susulan insiden tersebut. — Twitter/ArvindChauhan
Susulan kejadian, mangsa dikejarkan ke doktor dan menerima suntikan tetanus dan anti-rabies.
Bapa kanak-kanak itu yang juga seorang pegawai tentera mendakwa kakitangan restoran makanan segera itu cuai dan tidak banyak membantu ketika insiden.
Ekoran kejadian tersebut, dia mendakwa anaknya mengalami ketakutan dan trauma. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram