Lima kes paling jijik berlaku di kedai makan hingga diarah ditutup


  • Massa
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Keadaan belakang pinggan yang berdaki membabitkan salah satu insiden jijik di kedai makan baru-baru ini.

SEJAK kebelakangan ini banyak premis menjual makanan dikenakan tindakan tutup kedai oleh pihak berwajib kerana kadar kebersihan yang tidak memuaskan.

Pada Januari tahun ini, rata-rata pengguna media sosial dikejutkan dengan banyak video yang boleh membuatkan orang ramai kembang tekak.

Malah perkara ini turut terjadi di beberapa buah restoran terkenal yang dikunjungi orang ramai setiap hari.

Walaupun pihak berkuasa sudah mengambil tindakan kepada kedai-kedai yang terlibat, namun beberapa buah premis masih belum mengambil pengajaran daripada perkara itu.

Majoriti menyenaraikan lima hal paling jijik berlaku di kedai makan hingga terpaksa ditutup oleh pihak berkuasa.

Beberapa helai misai dijumpai bersama sekali gus menguatkan lagi sangkaan orang ramai bahawa ia adalah kepala tikus.

1. Kepala tikus

Kes itu berlaku apabila seorang pelanggan terkejut apabila mendapati hidangan nasi kukus yang dipesan mengandungi kepala seekor tikus.

Kedai nasi kukus di Sabah itu diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus sahaja perkara itu tular di media sosial.

Beberapa helai misai turut dijumpai bersama dengan sekali gus menguatkan lagi sangkaan orang ramai bahawa ia adalah kepala tikus.

Bagaimanapun, kedai tersebut dapat beroperasi semula selepas diperiksa oleh pejabat kesihatan.

Tangkap layar menunjukkan sepotong ayam dalam mee goreng yang dipesan dikerumuni ulat.

2. Ayam goreng berulat

Baru-baru ini Majoriti ada melaporkan sebuah restoran mamak di Klang, Selangor didakwa gagal mengekalkan tahap kebersihan makanan apabila seorang pelanggan terkejut terjumpa ulat dalam juadahnya.

Dalam video yang tular itu menunjukkan sepotong ayam dalam mee goreng yang dipesan oleh pelanggan dikerumuni ulat.

Pelanggan itu kemudiannya memanggil pelayan restoran makanan dan menunjukkan keadaan makanan yang berulat itu.

Namun menyedihkan apabila pekerja restoran tersebut seolah-olah tidak mahu mengaku kesalahan mereka dan mengatakan ayam tersebut baru digoreng serta dipotong.

Seorang lelaki dipercayai tukang masak sebuah restoran dilihat menggaul adunan ayam di atas jalan tar.

3. Gaul ayam atas tar

Isu kebersihan kedai mamak ini seolah-olah sudah menjadi berita sensasi sejak kebelakangan ini.

Tindakan pekerja dipercayai tukang masak yang menggaul adunan ayam di situ mengundang rasa jijik orang ramai apabila menggunakan bekas masakan kotor selain menyediakan makanan di kawasan yang tidak sesuai.

Tidak dinafikan hidangan ayam goreng sentiasa menjadi tarikan utama di setiap restoran nasi kandar namun, cara penyediaan di kedai mamak terbabit nyata mengundang perhatian orang ramai.

Majoriti juga pernah melaporkan kejadian seorang pelanggan berdepan dengan situasi meloyakan apabila seekor tikus menjamah hidangan ayam yang tersedia di kedai makan.

WhatsApp-Image-2022-12-23-at-1.14.59-PM

Seekor tikus sedang menjilat ayam goreng dalam pemanas makanan sebuah restoran.

4. Tikus dalam tempat ayam goreng

KKM pernah meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang menjilat ayam goreng dalam pemanas makanan sebuah restoran.

Hasil siasatan dan maklumat orang ramai, pihak kementerian akhirnya mengeluarkan arahan penutupan selama 14 hari dan enam notis kompaun terhadap sebuah kedai makan di Pandan Indah, Kuala Lumpur berhubung video tular itu,

Perkara tersebut turut mendapat perhatian, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mendapati tahap kebersihan premis itu tidak memuaskan.

Malah Dr Noor Hisham berkata, enam notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 terhadap premis tersebut kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.

Seorang lelaki terkejut apabila mendapati pinggan yang digunakan retak malah selepas diperiksa, bawah pinggan juga berdaki.

5. Pinggan berdaki

Sebuah kedai makan di Taman Gelora, Kuantan, Pahang menjadi perhatian ramai kerana didakwa mengabaikan kebersihan dengan menghidangkan makanan kepada pelanggan menggunakan pinggan retak dan berdaki.

Perkara itu terbongkar selepas seorang tukang masak melalui ‘channel’ YouTube miliknya berkunjung ke kedai makan berkenaan bersama ahli keluarganya untuk menjamu selera.

Bagaimanapun selepas makan, mereka terkejut apabila mendapati pinggan yang digunakan retak malah selepas diperiksa, bawah pinggan juga berdaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram