SEORANG penunggang e-hailing diberi penghormatan oleh Polis Diraja Thailand kerana menyelamatkan seorang kanak-kanak yang hampir kemalangan ketika melintas di Pathum Thani, utara Bangkok, Thailand pada Khamis.
Ketika kejadian, Peeraphong Chumphonwadee, 32 tahun, sedang menunggang motosikal di laluan tersebut sebelum kanak-kanak lelaki terbabit dilihat melintas dalam keadaan berbahaya ke arah bapanya di seberang jalan.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu memaparkan tindakan terpuji pemuda berkenaan yang pantas bertindak dalam situasi tersebut.
Hampir berlanggar dengan sebuah kereta, tindakan pantas Peeraphong yang berlari dan menangkap kanak-kanak itu berjaya mengelakkan daripada berlaku sebarang kemalangan.
Difahamkan, Peeraphong ketika kejadian sedang dalam perjalanan untuk menghantar makanan di sebuah taman perumahan berhampiran dan dua cawan kopi yang dibawanya tertumpah dalam insiden tersebut.
Namun, kerugian itu ditanggung oleh pemilik kedai setelah pemuda berkenaan menjelaskan situasi yang berlaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram