36 maut tren bertembung di Greece, penumpang cerita detik 10 saat menakutkan


  • Benua
  • Rabu, 01 Mac 2023

Empat gerabak pertama kereta api terbabit telah tergelincir daripada landasan, dengan dua daripadanya 'hampir musnah sepenuhnya'.— Agensi

SEKURANG-kurangnya 36 orang terbunuh dan 85 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung berhampiran bandar Tempe di tengah Greece, menurut pasukan bomba negara tersebut.

Insiden tersebut berlaku di kawasan berdekatan bandar Larissa pada Selasa malam.

Menurut gabenor wilayah Thessaly, Konstantinos Agorastos, kejadian itu melibatkan sebuah kereta api penumpang dalam perjalanan dari Athens ke utara bandar itu, bersama kereta api kargo yang bergerak dari Thessaloniki ke Larissa.

"Perlanggaran yang berlaku sangat kuat," katanya kepada media tempatan dan turut memaklumkan empat gerabak pertama telah tergelincir daripada landasan, dengan dua daripadanya 'hampir musnah sepenuhnya'.

Konstantinos berkata, berkata kira-kira 194 penumpang selamat dipindahkan ke Thessaloniki dengan menaiki bas.

Sementara itu, pihak bomba memaklumkan setakat jam 5.30 pagi waktu tempatan, polis dan pekerja pasukan tersebut masih melakukan operasi menyelamat di tempat kejadian.

Pegawai hospital di Larissa berkata, sekurang-kurangnya 25 mangsa dalam insiden tersebut mengalami kecederaan serius.

Pengendali kereta api Hellenic Train pula berkata, kereta api penumpang arah utara itu membawa kira-kira 350 penumpang.

Mangsa terselamat ketika ditemui berkata, beberapa penumpang dilihat tercampak melalui tingkap kereta api tersebut akibat rempuhan yang berlaku itu.

Katanya, terdapat juga mangsa lain berusaha untuk mengeluarkan diri daripada gerabak masing-masing selepas kereta api penumpang itu berpusing dan merempuh kawasan padang di sebelah landasan.

"Suasana panik terjadi di dalam gerabak dan orang ramai menjerit," kata seorang mangsa yang dipindahkan ke jambatan berhampiran ketika ditemui media tempatan.

"Selepas mendengar bunyi dentuman... kereta [kereta api] mula berpusing sebelum berhenti di landasan," kata seorang lagi penumpang.

"Ia adalah 10 saat yang ngeri. Dengan kebakaran, anda tidak dapat melihat dengan jelas akibat daripada kehadiran asap," ujar penumpang lain.

"Saya tidak cedera tetapi saya dilumuri dengan darah daripada orang lain yang cedera berhampiran saya." menurut seorang lagi mangsa ketika ditemu bual akhbar tempatan.

Bercakap kepada media di negara itu, seorang remaja berkata, dia terpaksa pergi ke gerabak keempat untuk keluar daripada kenderaan tersebut selepas gerabak pertama mengalami kebakaran.—Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram