[VIDEO] Ketua mafia bolos sel guna cadar, perdaya 50 warden penjara


  • Benua
  • Selasa, 28 Feb 2023

Tangkap layar seorang banduan dipercayai ketua mafia berjaya meloloskan diri dari penjara.

SEORANG banduan lelaki dipercayai ketua kumpulan perusuh Itali telah melarikan diri dari sel di penjara Badu'e Carros, Sardinia, Itali baru-baru ini.

Suspek, Marco Raduano, 40, berjaya meloloskan diri dengan menggunakan sarung cadar katil selepas perbuatannya tidak disedari mana-mana pihak.

Menurut ketua kesatuan penjara, Giovanni Villa, suspek berani melarikan diri dari penjara tersebut kerana disebabkan kekurangan kakitangan pengawal.

"Hanya 50 pengawal ditugaskan untuk mengawasi seramai 180 banduan di penjara tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada ketua dan pembunuh upahan terkemuka di Itali.

"Banduan dari Puglia, Itali itu berani melarikan diri dari salah satu penjara paling selamat di Itali.

"Nampaknya dia sudah bersedia dengan segala-galanya dan perancangan itu dibuat dengan cukup baik dalam waktu tersebut," ujarnya.

Raduano ditangkap pada 2018 dan dipenjarakan selama 18 tahun atas kesalahan mengedar dadah jenis kokain selain turut berhadapan dengan tuduhan kes membunuh.

Belum ada sebarang tangkapan dilaporkan setakat ini dengan suspek masih lagi diburu oleh pihak polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram