[VIDEO] China cipta peranti kontroversi khas untuk ciuman jarak jauh


  • Benua
  • Isnin, 27 Feb 2023

Untuk menghantar ciuman melalui peranti tersebut, pengguna perlu memuat turun aplikasi telefon mudah alih dan memasukkan peranti itu ke dalam alat pengecasan telefon berkenaan.—Agensi

KESAT dan menyeramkan. Demikian reaksi sebahagian daripada pengguna media sosial di China terhadap kewujudan peranti ciuman jarak jauh yang dicipta di negara tersebut.

Peranti dengan rekaan bibir dibuat daripada bahan silikon boleh gerak itu diiklankan sebagai cara untuk membolehkan pasangan jarak jauh berkongsi keintiman fizikal 'sebenar'.

Namun begitu, ia ternyata menimbulkan kehebohan dalam kalangan pengguna di China yang memberikan reaksi bercampur baur terhadap penciptaan tersebut meskipun ramai antaranya menyifatkannya sebagai agak melucukan.

Dilengkapi dengan penderia tekanan dan penggerak, peranti itu dikatakan boleh meniru ciuman sebenar melalui tekanan, pergerakan dan suhu bibir pengguna.

Bersama-sama dengan gerakan mencium, ia juga boleh menghantar bunyi yang dibuat pengguna.

Kumpulan yang melahirkan kerisauan terhadap peranti tersebut mengungkapkan kebimbangan mereka terhadap kesan peranti tersebut terutamanya kepada kanak-kanak di bawah umur yang boleh membeli dan menggunakannya.

"Saya tidak faham (peranti) tetapi saya benar-benar terkejut," menurut satu komen berada di kedudukan teratas di Weibo.

Di platform sosial media seperti Twitter pula, beberapa tanda pagar mengenai peranti itu telah mendapat ratusan juta tontonan sepanjang minggu lalu.

Untuk menghantar ciuman melalui peranti tersebut, pengguna perlu memuat turun aplikasi telefon mudah alih dan memasukkan peranti itu ke dalam alat pengecasan telefon berkenaan.

Selepas berhubungan dengan pasangan mereka melalui aplikasi berkenaan, pasangan menggunakannya boleh memulakan panggilan video dan menghantar replika ciuman mereka antara satu sama lain.

Menurut media milik kerajaan China, Global Times, ciptaan itu telah dipatenkan Institut Teknologi Mekatronik Vokasional Changzhou.

“Di universiti, saya menjalinkan hubungan jarak jauh dengan teman wanita saya jadi kami hanya berhubung antara satu sama lain melalui telefon. Di situlah inspirasi peranti ini berasal,” kata ketua penciptaan rekaan alat tersebut, Jiang Zhongli.

Menurut laporan, Zhongli telah memohon paten pada 2019 namun paten tersebut berakhir pada Januari 2023 dan dengan beliau kini berharap agar terdapat individu lain mampu mengembang dan menyempurnakan rekaan alat tersebut.

Dalam pada itu, terdapat juga ciptaan serupa seperti peranti itu yang dikenali sebagai "Kissinger," telah dilancarkan Institut Imagineering di Malaysia pada 2016.

Bagaimanapun, ciptaan tersebut datang dalam bentuk pelapik silikon sensitif sentuhan, dan bukannya dalam rekaan bibir yang realistik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram