Lima warga asing kena cekup kes bunuh tuan kebun di Port Dickson


  • 112
  • Isnin, 20 Feb 2023

Gambar hiasan.

LIMA lelaki warga Myanmar direman tujuh hari mulai Isnin bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki tempatan yang mayatnya ditemukan di sebuah kebun buah naga di Site A, Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, perintah reman terhadap suspek berusia dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun itu dikeluarkan Majistret V. Vanita di Mahkamah Majistret Port Dickson pada Isnin.

Bercakap kepada media beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada Ahad media melaporkan seorang pemilik kebun berusia 44 tahun ditemukan mati tertiarap dalam keadaan kaki dan tangan berikat di kebun berkenaan dipercayai dibunuh.

Difahamkan polis menahan empat lelaki di Shah Alam, Selangor pada 11.40 pagi Ahad manakala seorang lagi ditahan di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur pada 11.15 malam Ahad, dan beberapa suspek yang ditahakan dikatakan telah mengaku terlibat dalam kes berkenaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

reman, bunuh, warga Myanmar, pekebun, Port Dickson