Polis tahan peniaga mengamuk, ugut bunuh 2 wanita guna parang di Cheras


  • 112
  • Jumaat, 10 Feb 2023

ACP Mohamad Farouk Eshak.

POLIS menahan seorang peniaga selepas dilaporkan mengamuk dengan menggunakan sebilah parang di hadapan sebuah rumah sehingga merosakkan sebuah kereta milik keluarga teman wanitanya di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Dalam kejadian 2 petang, suspek berumur 40 tahun, sebelum itu bertengkar dengan bekas isterinya selepas didatangi oleh wanita itu bersama ibu teman wanitanya di rumah berkenaan bagi mencari teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata, selepas berlaku pertengkaran itu, lelaki berkenaan bertindak mengeluarkan parang dan bertindak memecahkan cermin besar hadapan kereta milik keluarga teman wanitanya dan mematahkan tempat pemegang pintu sebelah pemandu.

"Lelaki itu juga didakwa mengugut mahu membunuh emak dan seorang lagi ahli keluarga teman wanitanya,” katanya, dalam kenyataan pada Jumaat.

Bertindak atas laporan, polis kemudian ke tempat kejadian dan berjaya menahan lelaki berkenaan pada pukul 3.30 petang serta merampas sebilah parang berukuran lebih 64 sentimeter yang dijadikan senjata dalam kejadian itu.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati, suspek positif jenis methamphetamin dan amphetamine selain turut mempunyai satu rekod jenayah berkait dadah.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula sehingga 13 Februari depan," katanya.

Mohamad Farouk berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang mendatangkan ketakutan dan perbuatan khianat atas harta benda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram