
TAMAN tema permainan sememangnya diminati ramai dengan pusat hiburan itu sering dipenuhi dengan pengunjung yang gemar menaiki permainan seperti roda Ferris, 'roller coaster' dan pelbagai lagi permainan lain.
Namun, di sebalik keseronokan itu ada juga berita yang kurang enak untuk didengari apabila mesin permainan berkenaan kerap berhadapan dengan isu kerosakan yang membahayakan keselamatan pengunjung.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi insiden yang berlaku di Florida, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu apabila sebuah roda ferris di taman tema mengalami kerosakan secara tiba-tiba.
Ketika kejadian, gerabak yang membawa pengunjung itu berayun dan berputar sehingga mengundang ketakutan pengunjung di situ.
Lebih menakutkan, roda Ferris itu tidak dilengkapi dengan tali pinggang keselamatan dan mangsa kejadian difahamkan terpaksa bertahan sehingga 30 minit sebelum diselamatkan.
Insiden tersebut walaubagaimanapun berakhir dengan selamat apabila pihak keselamatan taman tema terbabit berjaya mengeluarkan kesemua penumpang.
Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan berlaku, namun seorang pengunjung dikenali sebagai Sic, meluahkan kekecewaannya susulan kesan lebam dan luka dialami dalam kejadian itu.
"Saya terperangkap bersama anak-anak dan mengalami kesan lebam akibat tercampak semasa di dalam gerabak berkenaan.
"Anak-anak saya juga turut mengalami kesan trauma dengan insiden tersebut," katanya.
Pengurusi taman tema tersebut, Frank Zaitshik berkata, semua penumpang telah dikeluarkan dengan cara paling selamat dan tepat pada masanya.
"Penumpang berjaya diselamatkan dengan pantas dan pemeriksaan menyeluruh akan dijalankan berhubung kerosakan dan protokol keselamatan mesin tersebut," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram