SEEKOR harimau bintang yang mengganas di sebuah bandar Pakistan selama enam jam dan mencederakan lima penduduk tempatan berjaya ditembak dengan ubat pelali, lapor Daily Mirror baru-baru ini.
Harimau bintang itu didakwa melarikan diri dari sangkar rumah pemiliknya di ibu kota Pakistan, Islamabad.
Semasa cuba melarikan diri, ia dilihat melompat ke atas tembok dan berkeliaran di kawasan kejiranan sebelum menyerang penduduk tempatan.
Terdapat laporan yang tidak disahkan bahawa salah seorang mangsa meninggal dunia.
Haiwan itu malah menyerang pegawai hidupan liar yang cuba menangkapnya di tempat kejadian dan serangan harimau itu berlaku di kawasan kejiranan DHA Fasa II yang mewah.
Selepas beberapa jam menjejaki haiwan buas itu, pekerja Lembaga Pengurusan Hidupan Liar Islamabad berjaya menenangkannya dengan ubat pelali dan membawanya ke Pusat Penyelamat Haiwan di Zoo Islamabad.
Di bawah bidang kuasa Balai Polis Sahala, seorang suspek yang tidak dinamakan didakwa mengikut Seksyen 324 (cubaan untuk membunuh) dan 289 (kelakuan cuai terhadap haiwan) Kanun Keseksaan (PPC) Pakistan.
Memelihara haiwan liar seperti harimau bintang di kediaman persendirian adalah haram di Pakistan. Siasatan bagaimanapun masih diteruskan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram