Disahkan cacat kekal selepas 25 tahun gembirakan pelancong, Pai Lin terpaksa kembali ke habitat asal


  • Benua
  • Isnin, 20 Feb 2023

Tekanan secara berterusan di bahagian belakang mengakibatkan kerosakan tisu dan tulang gajah berkenaan. — Agensi

SEEKOR gajah yang diberi nama Pai Lin terpaksa menanggung kecacatan kekal di belakangnya selepas lebih 25 tahun dijadikan tarikan pengunjung.

Berdasarkan sebuah foto yang dikongsikan, haiwan berkenaan dilihat tidak berada dalam keadaan normal dengan tulang belakangnya bukan lagi pada posisi sepatutnya.

Menurut laporan semasa, Pai Lin sudah dihantar ke pusat pemeliharaan haiwan liar yang mana dia tidak lagi dirantai serta diberikan kebebasan dalam ruang disediakan.

Pengarah Yayasan Rakan Haiwan Liar Thailand (WFFT), Tom Taylor berkata, gajah tidak sesuai untuk dijadikan mod pengangkutan walaupun saiznya yang besar.

"Meskipun gajah cukup terkenal dengan kekuatannya, tulang belakangnya tidak sesuai untuk menanggung beban untuk satu tempoh yang panjang.

"Tekanan yang berterusan berpunca daripada pengunjung yang menunggang di belakang mereka akan mengakibatkan kesan fizikal kekal, seperti mana dapat dilihat pada Pai Lin," katanya.

Sebelum ini, Pai Lin dipaksa untuk mengangkut puluhan pengunjung setiap hari dengan enam individu diletakkan di belakangnya dalam satu-satu masa.

Gajah berusia 71 tahun tersebut dilabel sebagai antara 'pelopor' pusat penjagaan selepas ia diselamatkan pada 2007.

Ketika ini, Pai Lin berserta 23 ekor gajah lain ditempatkan di pusat berkeluasan 44 ekar yang dipenuhi pepohon, tasik dan kawasan meragut.

Tambah Taylor, 300 kilogram (kg) makanan terdiri daripada rumput kering perlu disediakan setiap hari. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram