[VIDEO] Ingatkan kucing, rupanya bayi yang merangkak atas bumbung rumah


  • Benua
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Seorang lelaki berusaha membantu kanak-kanak lingkungan usia dua tahun yang merangkak di atas bumbung sebuah rumah.

KECOH di media sosial apabila seorang bayi lelaki dilihat sedang merangkak seorang diri di atas bumbung sebuah rumah di Indonesia baru-baru ini.

Melalui perkongsian video di media sosial yang berdurasi 17 saat itu memaparkan seorang bayi lelaki dalam lingkungan umur setahun sedang merangkak di atas bumbung rumah seorang diri sekali gus mengundang tanda tanya warga maya.

Kejadian yang berlaku di negara jiran, Indonesia itu mendapat 100,000 tontonan di Twitter.

Rata-rata pengguna media sosial keliru bagaimana kanak-kanak lelaki itu boleh berada di tempat yang tinggi seorang diri.

Jika diperhatikan keadaan sekeliling, amat mustahil bagi seorang kanak-kanak mampu memanjat dinding yang begitu tinggi untuk sampai ke atas bumbung.

Pengguna media sosial turut bimbang jika perkara itu berpunca daripada kecuaian ibu bapa kanak-kanak tersebut yang mana boleh membahayakan keselamatan.

Terdapat juga beberapa pendapat atau komen pengguna media sosial mencuit hati setelah melihat video tersebut yang mana mengatakan mereka menyangka itu hanya seekor kucing, tetapi ternyata seorang kanak-kanak lelaki.

Ada juga menyamakan aksi bayi itu sama seperti dalam filem Baby's Day Out arahan Patrick Read Johnson terbitan 1994.

Namun, punca sebenar kanak-kanak itu boleh berada di atas bumbung tidak diketahui sekali gus menjadi perdebatan pengguna media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram